PUTRAJAYA – Jawatankuasa Penajaan Kementerian Komunikasi bagi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Tahun 2024 menerima jumlah penajaan keseluruhan sebanyak RM4.09 juta.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, untuk sumbangan penajaan jumlah yang diterima sebanyak RM2.03 juta manakala tajaan berbentuk mobile float untuk perarakan pula berjumlah RM2.06 juta.
Katanya, ia merupakan peningkatan melebihi jangkaan yang diharapkan berbanding tahun lepas.
“Hingga hari ini, Kementerian Komunikasi telah menerima pelbagai sumbangan penajaan rakan strategik kementerian dalam bentuk wang ringgit, in-kind barangan dan in-kind perkhidmatan.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua rakan strategik Kementerian Komunikasi yang telah memberikan sumbangan penajaan tidak kira berapa pun nilainya, kecil atau besar, sedikit atau banyak, pihak kementerian terima dengan amat berbesar hati.
“Sesungguhnya, sumbangan anda amat bermakna kepada semua rakyat Malaysia dalam menyambut HKHM 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika menyampikan ucapan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Oleh Rakan Strategik Kementerian Komunikasi bagi Sambutan HKHM 2024 di kementeriannya di sini hari ini.
Menurut Fahmi, sumbangan penajaan yang diterima dalam bentuk wang tunai akan disalurkan ke dalam Akaun Amanah Hari Kebangsaan yang digunakan bagi tujuan persiapan sambutan HKHM.
Sumbangan penajaan dalam bentuk barangan pula akan diedarkan dan diagihkan oleh pasukan sukarelawan Kementerian Komunikasi kepada orang ramai yang akan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya kelak.
Dalam pada itu, beliau optimis jumlah pengunjung yang akan hadir ke majlis sambutan berkenaan akan bertambah pada tahun ini.
Jelasnya, pada tahun lepas, jumlah pengunjung yang membanjiri Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2023 menjangkau 100,000 orang.
“Justeru sumbangan dalam bentuk in-kind barangan ini amat dialu-alukan untuk diedarkan kepada pengunjung yang memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya.
Sumbangan dalam bentuk barangan amat dialu-alukan untuk diedarkan kepada pengunjung yang memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya.
“Saya yakin bahawa sumbangan terutamanya dalam bentuk barangan seperti minuman, makanan, baju, topi, baucar beli-belah, merchandise (seperti bendera, kipas tangan, payung, botol minuman, beg) serta banyak lagi barangan lain akan menceriakan dan bermakna buat rakyat yang mengunjungi Dataran Putrajaya kelak,” katanya. – MalaysiaGazette