SUBANG – Seramai 41 pesakit rakyat Palestin yang selamat diterbangkan ke Malaysia akan dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini mereka ditempatkan sementara di Hangar Nombor 16 Skuadron, Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini yang dijadikan sebagai Mini Hospital.
“Sebanyak 26 ambulan telah disediakan untuk membawa pesakit dari PU Subang ke hospital, serta sebuah bas dan lapan van untuk membawa waris dari transit ke hospital,” katanya pada sidang media di Pangkalan Udara TUDM, di sini, hari ini.
Terdahulu, penerbangan dua pesawat Airbus A-400M milik TUDM yang membawa 41 orang awam Palestin yang cedera akibat konflik Gaza selamat mendarat di Pangkalan Udara TUDM, di sini, masing-masing jam 2.30 dan 3 petang tadi.
Kedua-dua pesawat itu yang berlepas dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir pada Khamis malam melakukan penerbangan kemanusiaan itu dengan mengambil masa kira-kira 13 jam.
Pada 4 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia akan membantu merawat warga Palestin yang cedera dengan membawa mereka ke Malaysia.
Menurut Khaled, kesemua rakyat Palestin yang dibawa ke Malaysia seramai 127 orang merangkumi 41 pesakit dan diiringi oleh 86 waris.
“Kebanyakan mereka adalah kanak-kanak, remaja dan dewasa yang mana telah melalui proses dokumentasi menerusi Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Dalam Negeri,” katanya.
Selain itu katanya, kesemua pesakit warga Palestin telah melalui proses tapisan yang dilaksanakan oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK), ATM.
“Ia bagi memastikan setiap daripada mereka boleh melalui penerbangan yang panjang,” katanya.
Katanya, antara rawatan yang akan diberikan termasuk patah dan kehilangan anggota badan terutamanya kaki dan tangan, luka parah di kepala, kecederaan mata serta lain-lain penyakit.
“Rawatan perubatan juga diberikan kerana kecederaan yang berpanjangan kesan daripada akses kepada kemudahan kesihatan yang terhad,” katanya. – MalaysiaGazette