KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kewujudan skim penipuan pelaburan dikenali ‘Pantheon Ventures’ yang ditawarkan melalui sosial media seperti Facebook dan Instagran.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan mendapati skim pelaburan terbabit menawarkan pelaburan yang kononnya berasaskan pasaran saham negara tertentu seperti Malaysia, Taiwan dan China.
“Keuntungan yang ditawarkan dalam skim pelaburan berkenaan adalah sekitar 8 peratus hingga 23 peratus bergantung kepada pasaran saham di negara berkaitan dan boleh diperolehi secara mingguan.
“Modus operandinya adalah pelabur yang berminat akan dimasukkan ke kumpulan WhatsApp ‘Pantheon Ventures’ dan diberikan bimbingan tentang pasaran saham yang bakal disertai pelanggan iaitu ‘mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ramli, bagi memulakan pelaburan, pelabur akan diminta membuat pindaan wang ke beberapa akaun syarikat yang disyaki adalah akaun keldai.
Tambah beliau, pelabur juga diarahkan untuk memuat turun aplikasi ‘Nexus Equity’ atau ‘Neeq’ untuk memantau pelaburan mereka.
“Melalui aplikasi itu, pelabur (mangsa) dapat melihat pelaburan mereka menjana keuntungan namun pihak syarikat akan memberikan pelbagai alasan apabila pelabur ingin mengeluarkan keuntungan tersebut,” ujarnya.
Ramli berkata, siasatan mendapati syarikat Pantheon Ventures adalah sebuah syarikat pelaburan tulen yang berpangkalan di United Kingdom dan ditubuhkan pada1982.
“Bagaimanapun, katanya, syarikat berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan skim penipuan pelaburan ‘Pantheon Ventures’ yang ditawarkan melalui laman sosial media sosial,” katanya. – MalaysiaGazette