KUALA LUMPUR – Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka meningkat sedikit pada suku kedua tahun ini disebabkan terutamanya oleh rasionalisasi subsidi diesel.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour bagaimanapun berkata, kesan daripada rasionalisasi tersebut kekal terurus berikutan langkah-langkah pengurangan oleh kerajaan untuk meminimumkan impak kos kepada perniagaan.
“Bagi baki tahun 2024, risiko inflasi menjadi lebih tinggi bergantung pada sejauh mana kesan limpahan daripada langkah-angkah dasar dalam negeri berhubung dengan subsidi dan kawalan harga ke atas trend harga yang lebih meluas.
“Selain itu, risiko ini bergantung pada harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan.
“Secara keseluruhan, inflasi keseluruhan dan inflasi teras bagi tahun 2024 diunjurkan berada dalam julat unjuran masing-masing sebanyak 2.0 peratus hingga 3.5 peratus dan 2.0 peratus hingga 3.0 peratus,” katanya pada majlis pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2024 di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
Mulai 10 Jun lalu, kerajaan merasionalisasikan subsidi diesel dengan menetapkan harga RM3.35 seliter di Semenanjung Malaysia sementara di Sabah, Sarawak, dan Labuan kekal RM2.15 seliter.
Langkah ini berjaya mengurangkan penyeludupan, terbukti dengan penurunan lebih 30 peratus dalam jualan diesel harian di Semenanjung Malaysia dan pengurangan 40 hingga 50 peratus di stesen minyak sempadan.
Rasionalisasi subsidi ini diharapkan menjimatkan kira-kira RM4 bilion setiap tahun dan faedahnya akan dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif bantuan kewangan.
Namun bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan penyasaran rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95 tidak berbangkit ketika ini.
Beliau berkata, ini kerana kerajaan ingin memberi fokus mengenai penjelasan rasionalisasi subsidi diesel kepada rakyat terlebih dahulu. – MalaysiaGazette