Palestinians carry some salvaged belongings as they leave the Jabalia refugee camp in the northern Gaza Strip after they returned briefly to check on their homes on May 31, 2024, amid the ongoing conflict between Israel and the militant group Hamas. (Photo by Omar AL-QATTAA / AFP)

GAZA CITY – Peperangan tanpa henti Israel ke atas Gaza telah membunuh lebih 40,000 rakyat Palestin.

Sekurang-kurangnya 16,456 daripadanya kanak-kanak dan lebih 11,000 wanita maut dari serangan lebih 10 bulan sejak Oktober tahun lalu.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, angka 40,000 itu kurang daripada jumlah sebenar kerana masih terdapat 10,000 rakyat Palestin yang hilang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang menggunung.

“Bolehkah anda bayangkan apa maksud 40,000? Ia adalah angka malapetaka yang tidak dapat dibayangkan oleh dunia,” kata Aseel Matar, seorang wanita Palestin di Gaza kepada Al Jazeera.

Wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud pula melaporkan dari Deir el-Balah di Gaza, angka 40,000 itu adalah “bacaan yang sangat konservatif mengenai jumlah korban di seluruh Gaza”.

“Masih ada yang hilang dan terperangkap di bawah runtuhan, (yang) belum dikenal pasti, belum dikutip, belum dikira,” katanya.

“Ada mereka yang hilang, ahli keluarganya tidak tahu apa-apa tentang keberadaan mereka. Ada yang hancur memandangkan skala dan kekuatan bom yang digugurkan Israel,” katanya.

Tentera Israel telah menyasarkan sekolah, pekerja kemanusiaan, kemudahan perubatan, dan tempat perlindungan PBB sepanjang perang termasuk beberapa pusat perlindungan yang menempatkan ramai orang yang kehilangan tempat tinggal.

Israel menyatakan kemudahan tersebut digunakan oleh Hamas untuk tujuan ketenteraan tetapi dakwaan tersebut sering kekurangan bukti.

Serangan Israel juga telah menyebabkan 92,400 orang cedera hingga menyebabkan kecacatan dengan kebanyakan hilang kaki dan tangan.

Perang itu juga merupakan yang paling membunuh dalam sejarah moden bagi wartawan dengan Jawatankuasa Melindungi Wartawan menyatakan 113 pekerja media telah terbunuh sejak perang bermula, 108 daripadanya warga Palestin.

Dengan Israel menyekat wartawan luar daripada memasuki Semenanjung, wartawan Palestin telah mengalami keadaan yang meletihkan dan bahaya serangan Israel untuk mendokumentasikan keadaan untuk orang awam di darat di Gaza.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk pada Khamis mengecam keganasan Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza ymendedahkan bahawa hampir 130 orang telah meninggal dunia setiap hari sejak 7 Oktober.

“Secara purata, kira-kira 130 orang terbunuh setiap hari di Gaza sejak 10 bulan lalu. Skala pemusnahan rumah, hospital, sekolah dan tempat ibadat tentera Israel amat mengejutkan,” kata Turk.

Turk menegaskan “keadaan yang tidak dapat dibayangkan” di kawasan yang terkepung itu adalah disebabkan oleh kegagalan berulang tentera Israel untuk mematuhi peraturan perang. -Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast