Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Seorang tukang tilik palsu berstatus Datuk didakwa bukan sahaja menipu beberapa pelanggan sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM70,000 tetapi juga dikatakan telah merogol salah seorang mangsanya.

Perkara itu didedahkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) apabila beberapa mangsa tampil membuat aduan selepas menyedari tukang tilik itu sebenarnya penipu.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, tukang tilik yang dikenali dengan panggilan ‘Master’ itu menipu mangsa dengan mengiklankan perkhidmatannya di media sosial sambil mengumpan mangsa yang  mahu mengubah nasib mereka.

Beliau mendedahkan modus operandi lelaki itu ialah mendakwa dirinya adalah pengantara kepada tuhan dan setiap pelanggan perlu menurut semua kehendaknnya bagi  membuang sial.

“MHO dimaklumkan pengadu tertarik dengan beberapa iklan oleh suspek di media sosial sebelum hadir untuk rawatan serta kelas lain yang disediakan. Semua yang ditawarkan juga dikenakan bayaran khas mencecah puluhan ribu setiap seorang.

“Ramai sebenarnya terpedaya dengan gelaran ‘Datuk’ dan ‘Master’ yang kononnnya dimiliki lelaki berkenaan namun semua mereka mendapati hasil yang dijanjikan itu tidak berlaku sehingga mereka mahu menghentikan rawatan.

“Lelaki berkenaan kemudian bertindak agresif dengan membuat pelbagai ugutan jenayah bagi individu-individu berkenaan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Lebih mengejutkan, ada mangsa yang menjadi mangsa cabul dan rogol lelaki berkenaan beberapa kali, dakwanya.

Kata Hishamuddin, lelaki itu menggunakan kedudukannya sebagai tukang tilik mengeksploitasi segelintir pelanggan wanita untuk melakukan hubungan seks dengannya atau berdepan dengan pelbagai ancaman.

“Jika tidak lakukan hubungan seks, dia mengugut akan berlaku perkara-perkara tidak baik akan berlaku. Nasibnya akan jadi buruk, jadi untuk buang nasib perlu melakukan hubungan seks dengannya.

“Ada juga mangsa ketika rawatan, dia menyentuh bahagian-bahagian sulit mangsa.

“Sebagai contoh, ada seorang mangsa yang hanya dikenali sebagai Linda telah dieksploitasi sehingga terpaksa mengadakan hubungan seks tanpa rela lebih empat kali, salah satu tanpa kesedarannya apabila dia bangun dan menyedari dirinya dalam keadaan berbogel,” ujarnya.

Hishamuddin juga memaklumkan rata-rata sudah membuat laporan polis berhubung tukang tilik tersebut.

“Kelakuan tukang tilik ini sebenarnya sangat terkutuk kerana mengambil kesempatan terhadap mangsa untuk kepentingan diri sendiri dan perlu di hentikan dengan segera. Kita telah mohon semua untuk buat laporan polis.

“Pihak berwajib juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap individu tersebut supaya dia dikenakan hukuman yang setimpal serta aktiviti-aktivitinya dapat dihentikan,” tegasnya.

Dalam pada itu, difahamkan polis sudah mengesahkan kepada media pihaknya telah memberkas seorang tukang tilik bergelar Datuk yang didakwa merogol seorang wanita dan menipu pengikutnya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, penahanan itu dibuat selepas satu laporan diterima polis semalam.

Difahamkan, satu kenyataan media akan dikeluarkan berkaitan kes ini dalam masa terdekat. -MalaysiaGazette