KUALA LUMPUR – UMNO tidak menghadapi sebarang isu dengan parti Amanah Negara (Amanah) berhubung pemilihan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, di peringkat majlis pimpinan, telah ada satu prinsip yang sama untuk saling menghormati keputusan mengenai kerusi-kerusi penyandang.
Malah, UMNO tidak pernah membuat sebarang tuntutan mengenai perkara itu.
“Betullah di peringkat bawah itu, biasalah (mahu calon dari parti). Kita inikan parti sifatnya demokrasi, kepimpinan akar umbi sudah ada pandangan yang mendesak, yang mahu kerusi itu ditandingi oleh mana-mana parti pun, itu biasa.
“Tapi, yang paling penting di peringkat majlis pimpinan kita saling hormat menghormati. Sekiranya majlis pimpinan membuat keputusan, saya kira semua menghormati,” katanya kepada media selepas memantau persiapan bagi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Dewan Merdekat, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Sebelum ini, Amanah Kluang menegur Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak perlu terburu-buru membuat kenyataan sendiri berhubung calon bagi PRK DUN berkenaan.
Dr Mohd Zuhan Mohd Zain juga meminta Ahmad Zahid tidak melatah sebaliknya, beliau menyeru pucuk pimpinan duduk bersama berbincang mengenai penentuan calon PRK DUN Mahkota.
Beliau juga menegaskan, pendirian Amanah Kluang yang bersedia untuk bertanding pada PRK Dun Mahkota sehingga keputusan pucuk pimpinan dibuat.
Sementara itu ditanya mengenai calon yang bakal diketengahkan oleh UMNO di DUN Mahkota, Asyraf Wajdi berkata, UMNO menyerahkan kepada kebijaksanaan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) untuk memilih calon bagi mewakili parti itu di DUN berkenaan.
Katanya, beliau yakin Ahmad Zahid akan membuat keputusan yang bijak berhubung perkara itu kerana ketika beliau menerajui Pergerakan Pemuda UMNO ramai anak muda ditonjolkkan.
“Di Johor sahaja kita boleh lihat lapan pemuda saya bertanding pada ketika itu, di mana enam dilantik sebagai exco kerajaan negeri.
“Tak pernah berlaku dalam sejarah dan menteri besar sendiri adalah dari anak muda yang merupakan bekas kepada exco kanan Pergerakan Pemuda UMNO penggal sebelum saya.
“Jadi, rejuvensi parti sebenarnya sudah berlaku ketika Datuk Seri Zahid mengambil alih sebagai presiden parti dan kita tunggulah…yang paling penting ialah saya percaya kepada prinsip winneable, acceptable, likeable yang disebut oleh presiden beberapa kali.
“Yang paling penting (calon) diterima oleh semua pihak sebagaimana saudara Awi di Nenggiri,” tambahnya. – MalaysiaGazette