KUALA LUMPUR – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) hari ini menggesa semua pemain industri segera mengambil tindakan tegas bagi memperkukuhkan keselamatan di tempat kerja.
Ini berikutan insiden tragik di Bintulu yang telah mencederakan 10 pekerja selepas kebakaran berlaku di sebuah kilang milik asing di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu baru-baru ini.
Menurut Pengerusi NIOSH, Chong Chieng Jen, terdapat keperluan mendesak ketika ini untuk melaksanakan reformasi keselamatan secara menyeluruh di semua industri.
Katanya, NIOSH komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan majikan, pekerja dan pengawal selia bagi memacu budaya keselamatan di seluruh negara.
“Keselamatan dan kesejahteraan pekerja perlu menjadi keutamaan tertinggi dalam setiap industri dan insiden buruk ini seharusnya menjadi peringatan tegas bahawa piawaian keselamatan tidak boleh dikompromi.
“NIOSH ingin merakamkan ucapan simpati mendalam kepada keluarga yang terlibat dan percaya syarikat-syarikat di seluruh Malaysia perlu menilai semula protokol keselamatan mereka dengan segera.
“Sekarang bukanlah masa untuk semua pihak berpuas hati dengan tahap keselamatan masing-masing dan NIOSH komited untuk menyokong syarikat yang terlibat dengan kejadian terbabit serta perniagaan lain bagi memastikan kejadian sebegini tidak berulang,” katanya dalam kenyataan.
Chieng Jen juga menyeru semua syarikat untuk melakukan perkara yang sama kerana perlindungan pekerja tidak boleh dianggap remeh sebaliknya menjadi prinsip asas dalam setiap operasi.
“NIOSH akan terus berada di barisan hadapan bagi memperjuangkan tempat kerja yang lebih selamat untuk mengelakkan tragedi seperti ini berlaku di masa hadapan,” ujarnya. -MalaysiaGazette