KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari dimaklumkan semua tuduhan kononnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyeleweng dana RM2.3 bilion milik syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilihat cacat dan banyak pertindihan.
Malah ketika berlangsungnya prosiding 1MDB yang berlangsung hampir enam tahun, banyak bukti-bukti yang dikemuka tidak jelas dan bertindih oleh pendakwaan.
Itu antara hujah permulaan peguam utama pasukan pembelaan mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hujahan akhir 1MDB yang bermula hari ini di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Menurut beliau, pihaknya akan mengemukakan hujahan membabitkan sejumlah 2,500 muka surat dalam prosiding berkenaan.
“Banyak sangat pertuduhan, dakwaan terhadap anak guam saya ini cacat kerana terdapat pelbagai pertindihan melibatkan empat pertuduhan utama, banyak yang tidak jelas.
“Hujahan pembelaan melebihi 2,500 muka surat. Ini tidak termasuk hujahan balas yang akan mencecah lebih 3,000 muka surat di akhir hujahan.
“Kami memohon maaf kerana tidak boleh langsung meringkaskan setiap hujahan kami, banyak sangat yang perlu kami nyatakan,” katanya hari ini.
Prosiding sedang bersambung ketika ini.
Pendakwaan prosiding 1MDB yang memakan masa 235 hari telah menutup kes pada 30 Mei lepas.
Ketika ini, Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Bekas Presiden UMNO itu didakwa melakukan perbuatan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014.
Bagi bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013 di tempat sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama. – MalaysiaGazette