Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Rakaman keterangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Jalan Sentral di sini ditangguhkan esok.

Perkara itu dimaklumkan secara ringkas kepada media oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain hari ini.

“Ada sedikit perubahan untuk merekod keterangan beliau (Muhyiddin) pada pukul 11 pagi hari ini di MIDA. Peguam (Muhyiddin) memaklumkan ia ditangguhkan esok pada waktu yang sama kerana peguamnya masih berada di Thailand,” katanya secara ringkas menerusi hantaran WhatsApp hari ini.

Semalam, Razarudin berkata, polis akan merakam keterangan berhubung ucapan bekas Perdana Menteri itu semasa berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja).

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan, setakat ini sebanyak 30 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu telah diterima.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebook juga menzahirkan perasaan kecewa serta terkilan dengan kenyataan Muhyiddin dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast