KUALA LUMPUR- Malaysia, Iran dan Hamas bersetuju dengan cadangan Turkiye supaya pimpinan dunia Islam dihimpunkan menerusi sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sidang itu adalah bagi menyelaras gerakan dan mengenakan tekanan lebih hebat terhadap Amerika Syarikat serta sekutunya.
Ia juga bagi mendesak rejim zionis Israel supaya segera menghentikan serangan dan pengeboman di Gaza.
“Sebelum berlepas ke India, saya sempat menghubungi Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian dan Dr Basem Naim, ahli Biro Politik Hamas lewat petang semalam.
“Bicara kami menyentuh beberapa usaha penting terkait usaha untuk merealisasikan gencatan senjata dan perdamaian berpanjangan di Gaza.
“Saya juga menyatakan sokongan penuh kerajaan Malaysia terhadap usaha tersebut yang sewajarnya dipelopori oleh negara-negara penting termasuk Turkiye, Qatar dan Iran
“Alhamdulillah, Kerajaan Iran dan Hamas senada dan menyokong inisiatif ini, termasuk cadangan menjemput negara bukan Islam yang turut mendukung keadilan dan memperjuangkan hak kemanusiaan buat rakyat Palestin seperti Afrika Selatan, Brazil, Sepanyol, Ireland dan Portugal,” katanya menerusi hantaran di media sosial beliau, hari ini.
Dalam pada itu Anwar berkata, beliau bersama Dr Masaoud dan Dr Basem berkongsi pendirian sama, di mana usaha mewujudkan perdamaian ini perlu bermula dengan rejim Israel menghentikan sepenuhnya serangan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin.- MalaysiaGazette