Anthony Loke.

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengakui terdapat keperluan untuk memperketatkan peraturan pengoperasian pesawat peribadi daripada luar negara.

Katanya, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang sedang menjalankan siasatan nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) pada 17 Ogos tahun lalu meneliti semua kelompongan peraturan yang perlu ditambah baik.

Terdahulu katanya, CAAM dijangka membentangkan laporan siasatan berhubung nahas pesawat tersebut pada akhir tahun ini.

“Dan memang ada keperluan memperketatkan peraturan berkenaan pesawat luar ini, jadi apabila mereka beroperasi di Malaysia perlu ada peraturannya. CAAM sedang buat kajian sejak tahun lepas, telahpun lihat perkara ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sementara itu Anthony menyerahkan kepada CAAM untuk mengambil tindakan ke atas pemilik pesawat Beechcraft itu sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang daripada segi pengoperasian pesawat.

“Jika ada mereka menyalahi apa-apa peraturan berkaitan penerbangan, syarikat berkenaan sudah tentu boleh dikenakan tindakan.   

“Jadi soal mengapa pembantu juruterbang ambil alih itu kita tidak boleh jawab sebab itu berlaku pada ketika itu pengambilalihan dibenarkan. Perkara itu pun diketahui daripada rakaman kotak hitam,” katanya.

Laporan akhir nahas Pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Elmina Shah Alam yang yang disiarkan dua hari lepas  mendedahkan faktor nahas berlaku disebabkan tindakan peluasan tidak sengaja ‘lift dump spoiler’ oleh kru penerbangan ketika melakukan pemeriksaan sebelum mendarat.

Laporan siasatan yang dikeluarkan Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) mendapati latihan kru yang tidak mencukupi dan kurangnya kesedaran tentang operasi sistem ‘lift dump’ turut menjadi faktor penyumbang ke atas nahas yang mengorbankan enam orang dalam tragedi itu.

Dalam kejadian pada 17 Ogos lalu polis mengesahkan 10 individu termasuk lapan dalam pesawat maut.

Pesawat ringan yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor turut mengorbankan seorang anggota Exco Pahang, Datuk Seri Johari Harun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast