Kira-kira 11 individu termasuk empat pegawai penguat kuasa sebuah agensi kerajaan ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai terbabit rasuah membabitkan sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan sepatutnya di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 21 OGOS 2024.

PUTRAJAYA – Mahkamah Majistret di sini membenarkan 11 individu termasuk empat penguat kuasa sebuah agensi kerajaan direman kerana disyaki terbabit kes rasuah sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan sepatutnya.

Dari jumlah itu, tiga penguat kuasa lelaki yang berkhidmat di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) direman lima hari sehingga 25 Ogos, manakala seorang lagi direman tiga hari sehingga 23 Ogos ini.

Selain itu, empat pemilik syarikat termasuk dua lelaki dan seorang wanita direman lima hari sehingga 25 Ogos dan seorang pemilik syarikat wanita direman empat hari sehingga 24 Ogos ini.

Turut direman dua orang awam termasuk seorang lelaki dan wanita selama lima hari sehingga 25 Ogos, dipercayai bertindak menjadi wakil ejen sindiket terbabit.

SPRM juga menahan reman seorang lelaki yang juga pengurus syarikat selama empat hari sehingga 24 Ogos ini.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nadiah Abd Razak selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Terdahulu, SPRM menahan 12 individu membabitkan sembilan lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an menerusi Op Pump dijalankan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan, semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan perkara itu berkata, mereka ditahan membabitkan empat pemilik syarikat dan tiga orang awam.

Kesemua terbabit dipercayai mempunyai peranan masing-masing bagi menguruskan kemasukan warga asing serta lima penguat kuasa yang bertugas di Terminal 2 KLIA.

Menurutnya, tangkapan ini hasil risikan dijalankan SPRM sejak 2022 terhadap kegiatan sindiket yang bersekongkol dengan pegawai-pegawai sebuah agensi penguat kuasa.

Siasatan mendapati, sindiket ini dikesan membawa masuk wang berjumlah lebih RM4 juta dari 2022 hingga 2024, dipercayai bagi urusan kemasukan warga asing yang turut diagih-agihkan kepada penguat kuasa terlibat.

Azam berkata, modus operandi kegiatan sindiket ini dengan membuat ‘counter setting’ iaitu bersekongkol dengan penguat kuasa di pintu masuk negara yang sedia menunggu di beberapa kaunter tertentu bagi memudahkan kemasukan kumpulan warga asing berkenaan.

Katanya, kumpulan warga asing yang ingin masuk ke negara ini akan menghubungi ejen berkenaan yang bertindak menguruskan tiket penerbangan termasuk urusan dengan penguat kuasa terlibat.

Ejen berkenaan akan memberikan maklumat kumpulan warga asing terbabit kepada penguat kuasa yang sudah menunggu di kaunter tertentu dan pada masa sama akan memaklum kepada warga asing terbabit untuk pergi ke kaunter terbabit sebaik tiba di negara ini bagi membolehkan mereka dilepaskan tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya.

Kumpulan warga asing ini sepatutnya melalui pemeriksaan berdasarkan Pekeliling Imigresen Bilangan 4 Tahun 2021 iaitu mereka hendaklah mengemukakan pasport atau dokumen yang sah, mempunyai visa, mempunyai tiket perjalanan pergi balik yang sah, mempunyai wang sara diri mencukupi sepanjang berada di negara, perlu menunjukkan alamat penginapan atau booking hotel.

Dalam pada itu, SPRM turut menyita beberapa pasport warganegara Pakistan dan Indonesia, 13 telefon bimbit, barang kemas serta kepingan emas, selain wang tunai berjumlah lebih RM40,000.

Kata sumber, kesemua suspek termasuk seorang penguat kuasa dilepaskan tanpa dibebaskan dengan jaminan SPRM sebelum ini ketika ditahan menerusi Op Pump

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette