Para peserta mengambil ambar beramai-ramai di penghujung program.

KUALA LUMPUR – Setiap pelajar sekolah yang menyimpan impian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, tentunya akan lebih teruja dalam usahanya apabila merasai sendiri pengalaman menjejakkan kaki ke sebuah universiti.

Menyedari hakikat ini, Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) telah menganjurkan Program Lawatan Sambil Belajar bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perak, Parit Buntar, Perak, baru-baru ini.

Program ini merupakan salah satu inisiatif jabatan dalam usaha menjalinkan hubungan sosial dengan pihak sekolah, yang selaras dengan visi Universiti Malaya untuk melangkaui batasan ilmu dan membentuk pemimpin beraspirasi.

Selain itu, program ini juga mencerminkan nilai-nilai teras Universiti Malaya seperti kesungguhan, perpaduan, integriti, keikhlasan, dan empati.

Menurut Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Dr. Kamal Solhaimi Fadzil, program ini antara lainnya memberikan peluang kepada pensyarah dan mahasiswa Jabatan untuk meluangkan masa bersama pelajar-pelajar sekolah.

“Secara tidak langsung, program ini membuka ruang bagi pertukaran pandangan berkaitan kemasukan ke UM khususnya, dan pengalaman menyambung pengajian di peringkat universiti, amnya. Ia juga mampu meningkatkan kemahiran komunikasi dan membina kerjasama antara kedua-dua pihak,” katanya lagi.

Pelajar SMK Sri Perak teruja menjejakkan kaki ke UM.

Idea untuk menganjurkan program ini timbul daripada inisiatif Jabatan Antropologi dan Sosiologi untuk mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat, khususnya SMK Sri Perak, menurut Dr. Asbah Razali, pensyarah kanan Jabatan dan juga Pengarah program.

“Aktiviti-aktiviti yang disusun dalam program ini bukan sahaja membolehkan pelajar sekolah mengenali potensi diri mereka, tetapi juga memberikan mereka peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pensyarah dan mahasiswa UM,” terangnya lagi.

Sesi perkongsian pengalaman oleh pensyarah dan mahasiswa antara perkara menarik dalam program ini, terutamanya sebuah sesi perkongsian khusus bertajuk ‘Meniti Masa Depan yang Gemilang’ yang disampaikan oleh Dr. Syed Abdul Razak Sayed Mahadi, wakil pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi.

Antara intipati perkongsian Dr. Syed Abdul Razak ialah untuk tidak memandang rendah terhadap kekurangan yang ada kerana berbekalkan usaha yang tidak mengenal jemu, kita sebenarnya mampu menggapai apa jua cita-cita yang kita impikan.

Aktiviti ini diadakan bagi memberi suntikan motivasi kepada pelajar untuk yakin dalam mengejar cita-cita melanjutkan pengajian mereka ke peringkat tertinggi.

Dengan pengalaman yang dikongsikan, pelajar SMK Sri Perak diharap mampu lebih berkeyakinan untuk berusaha sehabis baik dan menempa kejayaan dalam setiap bidang yang diceburi.

Dr. Asbah berharap program ini dapat meningkatkan motivasi dan semangat pelajar SMK Sri Perak untuk mencapai cita-cita masing-masing dengan melanjutkan pengajian ke Menara gading.

“Tiada yang mustahil untuk dicapai dalam hidup ini, asal sahaja kita berilmu dalam mengejarnya. Dan diharapkan dengan lawatan yang singkat ini mampu menyuntik sedikit lonjakan dalam diri pelajar yang terlibat untuk bersemangat dalam usaha masing-masing mendekati impian yang terbina,” katanya penuh semangat.

Ketua Guru Pengiring SMK Sri Perak, Hamzah Sauti, berhasrat agar program seperti ini diteruskan pada masa akan datang kerana ia dapat mengukuhkan lagi ikatan dan jaringan sosial antara Universiti Malaya dan SMK Sri Perak.

Manakala Dr. Kamal Solhaimi berkata, program ini penting untuk membuka minda pelajar tentang kepentingan menuntut ilmu sehingga ke peringkat tertinggi menurut keupayaan kita.

Menurut beliau, program seperti ini dapat membantu pelajar sekolah membangunkan diri mereka dan menjadi lebih berkeyakinan dalam mendepani sebarang cabaran yang mendatang.

“Saya juga mendoakan yang pensyarah dan mahasiswa UM yang terlibat di dalam program ini juga menyedari peranan kita yang lebih besar dalam membantu menyemarakkan cinta masyarakat kepada ilmu pengetahuan,” katanya mengakhiri temubual. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast