KUALA LUMPUR – Pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam tidak meletakkan harapan tinggi untuk anaknya Syamsul Yusof pulang ke pangkuan keluarga selepas lima tahun menghilangkan diri.
Kata Yusof, 70, atau nama sebenarnya, Mohd. Yusof Md. Haslam Khan, beliau menyerahkan keputusan untuk bertemu dengan keluarga 100 peratus kepada Syamsul.
“Kita pun sebagai orang tua bukan pengemis kepada anak sendiri.
“Tetapi, kasih sayang kami ibu bapa tidak pernah berbelah bahagi.
“Pada saya dia tahu di mana tempat dia, dia tahu di mana hendak balik,” katanya memetik laporan Kosmo Online hari ini.
Pengarah filem Sembilu itu turut berkata, dia sudah buntu untuk menasihati Syamsul kerana beranggapan anaknya itu sudah dewasa dan matang dalam membuat keputusan.
“Saya tidak tahu hendak cakap apa. Saya hendak pesan yang bagaimana kerana kita sudah lama berpesan (nasihat) kepada dia.
“Lagipun dia juga sudah 40 tahun, saya pun sendiri sudah tua dan berumur 70 tahun.
“Pada saya, lebih baik serahkan segalanya kepada takdir dan doakan yang terbaik buat mereka tanpa melukakan hati mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui dalam sidang media pertama Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) di Kuala Lumpur semalam.
Semalam, Yusof menafikan dakwaan mengatakan dia sekeluarga gembira apabila mengetahui pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu memfailkan perceraian terhadap isterinya Ira Kazar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada Isnin lalu.
Sebelum in, Yusof memberitahu dia sekeluarga sudah lama terputus hubungan dengan Syamsul selain tidak mengetahui perkembangan terkini keadaan anak sulungnya itu.
Terdahulu, Syamsul dan Ira atau nama sebenar Faghirah Fatini Kazaruddin bernikah di Selatan Thailand pada 6 Januari tahun lalu. – MalaysiaGazette