Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution (tengah) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) diantara Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay (kiri) dan Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman (kanan) pada "PDRM Special Dialogue" di Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 22 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius  tindakan Agensi Antirasuah Bangladesh yang menyiasat empat bekas ahli Parlimen kerajaan di negara itu yang didakwa mendalangi sindiket penipuan pekerjaan termasuk membabitkan tenaga kerja ke Malaysia.

Ia melibatkan nilai anggaran 24,000 crore taka Bangladesh (RM8.9 bilion).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan meminta pihak berkuasa supaya memberikan laporan lengkap dan menyeluruh berhubung isu itu untuk tindakan sewajarnya.

Katanya, ia akan bermula dengan KDN menerusi Wisma Putra akan meminta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh supaya menyediakan maklumat terperinci dan terkini mengenai perkara tersebut.

“Tentunya saya akan berhubung dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) juga sebab pemberian kuota pengambilan tenaga kerja asing itu dikeluarkan oleh kementerian tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penutupan Dialog Khas II PDRM 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sime Darby di sini hari ini.

Semalam, Dhaka Tribune memetik sumber sebagai berkata, sindiket itu melibatkan bekas Menteri Kewangan, Mustafa Kamal, bekas ahli Parlimen, Nizam Uddin Hazari, Benazir Ahmed dan Jeneral Bersara Masud Uddin Chowdhurry.

Laporan itu mendedahkan, sindiket berkenaan telah menghantar 450,000 pekerja ke luar negara termasuk Malaysia dalam tempoh satu tahun.

Mengulas lanjut, Saifuddin menambah pendedahan itu memaksa KDN memberi perhatian yang serius dalam soal tersebut.

“Di satu sisi dasar kita membenarkan pengambilan pekerja asing untuk memenuhi lima sektor kritikal di negara ini yang mana tanpanya ekonomi negara akan terjejas.

“Dalam proses untuk membawa masuk tenaga kerja asing ke dam negara, hal hal sebegini dilaporkan berlaku.

“Maka sebagai kementerian yang mempengerusikan bersama dengan KESUMA berkenaan pengurusan pekerja asing, berita tangkapan adalah perkara yang perlu kami beri perhatian segera dan serius,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast