Tangkap layar sekitar Istiadat Nikah Diraja Tengku Puteri Raja Pahang, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dengan FD Idzham FD Iskandar

KUANTAN – Anakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah selamat diijabkabul dengan pilihan hatinya, FD Idzham FD Iskandar dalam Istiadat Akad Nikah tepat jam 9 malam tadi.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyaksikan istiadat tersebut, diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Istana Abdulaziz, di sini.

Mufit Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim pula diberi perkenan mewakilkan  Al-Sultan Abdullah mengakadnikahkan anakanda baginda.

Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah bertindak sebagai saksi dalam istiadat berkenaan, selain dua saksi dari pihak pengantin lelaki dan seluruh hadirin yang hadir.

Istiadat Akad Nikah bermula sekitar jam 8.50 malam turut dihadiri 110 jemputan khas dan istimewa kerabat bergelar, ahli keluarga dan teman rapat.

Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah, lafaz shahadah dan bacaan khutbah nikah.

FD Izham yang berbaju Melayu dan bersamping putih melafazkan akad nikah dengan dua kali lafaz, tepat jam 9 malam, seterusnya melafazkan lafaz taklik.

Beliau kemudian diiring keluar untuk menunaikan solat sunat nikah.

Sementara itu, istiadat diteruskan dengan keberangkatan masuk Tengku Puteri Afzan yang mengenakan persalinan serba putih, diikuti suaminya, FD Izham ke dalam Balai Mahkota bagi upacara penyerahan mas kahwin berupa senaskah al-Quran dan menyarung cincin.

Majlis berakhir dengan bacaan doa dan pengisytiharan perkahwinan serta istiadat merenjis yang dimulakan oleh ayahanda Puteri Raja, Al-Sultan Abdullah.

Istiadat Perkahwinan Diraja itu dijadual berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, esok dan Ahad pada pukul 8 malam dan disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 dan Tasek KotaSAS.

FD Idzham merupakan merupakan anak sulung kepada Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Berhad, Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor. – MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN

https://www.facebook.com/share/v/RMEtaU2BBBFDi6Kv/?mibextid=SphRi8

https://www.facebook.com/share/v/RMEtaU2BBBFDi6Kv/?mibextid=SphRi8

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast