Dinding penahan tanah yang runtuh di Taman Bunga Raya, Setapak. Foto media sosial

KUALA LUMPUR – Seramai 52 penghuni di 17 unit kediaman rumah teres yang terletak di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Klang – Kem Wardieburn, Wangsa Maju di sini telah diarahkan berpindah susulan tanah runtuh yang berlaku semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, buat masa ini keadaan di lokasi terkawal.

Menurutnya, semua mangsa yang terdiri daripada 26 lelaki dan 26 wanita telah diarah mengosongkan kediaman masing-masing kerana wujud kebimbangan berlaku runtuhan susulan.

Setakat ini, satu pusat pemindahan sementara (PPS) turut dibuka di Dewan Badminton Taman Bunga Raya untuk semua penghuni yang terjejas dalam kejadian itu.

“Namun, ada sebahagian kecil sahaja yang tinggal sementara di PPS, manakala majoritinya menumpang di rumah saudara mara dan juga di hotel berhampiran.

“Siasatan kita di lokasi berkenaan sejak malam tadi mendapati tiada kediaman yang terjejas dalam kejadian runtuhan itu, cuma sebuah rumah berada dekat dengan tebingĀ  yang runtuh itu, pada kedudukan jarak kira-kira dua kaki.

“Berikutan insiden tanah runtuh itu, atas nasihat pihak bomba, penduduk dari 17 kediaman terbabit dinasihatkan berpindah kerana lokasi masih berisiko,” katanya ketika ditemui pemberita di Dang Wangi hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Dang Wangi yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Deputi Komisioner Datuk Azry Akmar Ayob pagi tadi.

Mengulas lanjut, kejadian tanah runtuh itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 5.30 petang susulan hujan lebat melanda ibu negara lebih dua jam.

“Pada pagi ini, pihak bomba dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyambung tugas pembersihan dikawasan tebing yang terjejas akibat tanah runtuh yang sudah ditutup dengan kanvas.

“Malam tadi, pasukan bomba belum memasuki kawasan terjejas kerana di kesan masih berlaku sedikit pergerakan tanah di lokasi, justeru pemeriksaan dan kerja pembersihan dilaksanakan pada pagi tadi,” ujarnya lagi.

Tegas Mohamad Lazim lagi, pihaknya juga telah menempatkan balai polis bergerak di lokasi untuk melakukan pemantauan bersama pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan DBKL.

JKM turut berada di lokasi bagi membantu mengkoordinasi pemindahan semua penghuni yang terjejas agak lancar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast