GEORGE TOWN – Seorang pelajar Tingkat Lima maut terperosok di bawah sebuah lori selepas motosikal yang diboncengnya terbabit dalam kemalangan di Jalan Pengkalan Weld di sini, hari ini.
Mangsa, Nur Farzana Ahmad Husaini, 17, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala bapanya, 45 tahun yang merupakan penunggang motosikal jenis Honda Dash itu dilaporkan cedera.
Difahamkan, mangsa baru pulang dari sekolah dan dari arah Persiaran Gurney menghala ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 1.03 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Lebuh Pantai bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba kita dapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lori yang mana terdapat seorang mangsa tersepit di bawah kenderaan tersebut.
“Susulan itu, kita melakukan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.
Sementara itu, sumber polis memaklumkan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette