Seekor anak buaya tembaga yang berjaya ditangkap APM Kuantan berkeliaran di Taman Seri Damai, Kuantan malam tadi.

KUANTAN – Dua ekor anak buaya yang ditemui berkeliaran di Taman Seri Damai dan Taman Inderapura Jaya di sini berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam (APM) semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuantan, Mejar (PA) Zahidi Zainudin berkata, pihaknya menerima panggilan telefon berkenaan penemuan anak buaya pertama pukul 1.43 pagi dari penduduk Taman Inderapura Jaya yang mengatakan haiwan itu melintas di atas jalan.

“Seramai lima anggota APM dikerahkan ke lokasi kejadian dan kemudiannya berjaya menangkap seekor abak buaya berukuran kira-kira dua meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pihaknya kemudian pergi ke Taman Seri Damai di sini selepas mendapat maklumat dari penduduk yang menemui seekor lagi anak buaya berhampiran rumahnya.

“Anggota APM mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap anak buaya yang dianggarkan berukuran tiga meter berkenaan,” katanya.

Jelas Zahidi, kedua-dua ekor anak buaya terbabit berjaya dipindahkan dari lokasi berkenaan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kemungkinan kedua-dua anak buaya tembaga itu tersesat selepas mengikut air sungai pasang namun kemudiannya gagal kembali ke habitat asal.

“Kita tidak menolak kemungkinan dua anak buaya tembaga itu sebelum ini membesar dalam Sungai Belat sebelum tersesat selepas mengikut air pasang,” tambahnya.

Zahidi berkata, pihaknya menasihatkan pada mereka yang tinggal berhampiran Sungai Belat supaya lebih berhati-hati terutama pada waktu malam kerana reptilia itu boleh menyerang sekiranya  terancam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast