KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan suspek lelaki yang datang menaiki Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) dan melepaskan tembakan ke arah sebuah restoran sehingga mengakibat seorang individu tercedera di punggung dalam kejadian pada 23 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pada 2.55 pagi Jumaat lalu,polis menerima panggilan daripada warga asing mengenai insiden itu.
Katanya, pengadu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan memaklumkan terdapat orang melepaskan tembakan di tempat kerjanya di Bandar Bukit Tinggi, Klang.
“Bertindak atas maklumat pengadu sepasukan anggota peronda MPV telah diarahkan ke lokasi untuk mengesahkan kejadian tersebut.
“Hasil siasatan mendapati kejadian melepaskan tembakan berkaku jam lebih kurang 2.15 pagi di sebuah restoran di BBT One Boulevard, Lebuh Batu Nilam Bandar Baru Bukit Tinggi Klang.
“ Semasa kejadian sebuah kenderaan Pelbagai Guna (MPV) warna putih nombor pendaftaran tidak pasti serta berhenti berdekatan restoran tersebut.
“Kemudian seorang lelaki dewasa dipercayai warga tempatan turun dari kereta sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah individu-individu yang duduk di bahagian luar restoran tersebut sebelum melarikan diri menaikkan kenderaan yang sama meninggalkan tempat kejadian itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah beliau, siasatan lanjut di tempat kejadian bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Selangor telah menjumpai lima kelongsong peluru, satu anak peluru serta dua kesan tembakan pada kerusi dan kesan pada dinding restoran tersebut.
Justeru katanya, mangsa dalam kejadian itu dikenal pasti sebagai seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun yang mana mangsa telah terkena tembakan di bahagian punggung sebelah kiri.
“Mangsa pada masa ini sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan keadaan stabil.
“Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cuba membunuh dan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika disabitkan kesalahan.
“ Polis telah mempergiatkan usaha mengesan dan menangkap suspek-suspek yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya lagi.
Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi di talian 03-33762222 untuk membantu siasatan polis.-MalaysiaGazette