Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfig Fawzan Mohammed Al-Rabiah.

KUALA LUMPUR – Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfig Fawzan Mohammed Al-Rabiah dijadualkan mengadakan lawatan ke Malaysia dari 26 hingga 28 Ogos ini.

Dalam satu kenyataan, Dr Tawfig akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar, bersama-sama beberapa menteri kanan serta pegawai tertinggi berkaitan haji.

Lawatan bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala yang kukuh antara Kerajaan Arab Saudi dan Malaysia dengan fokus kepada meningkatkan pengalaman umrah bagi jemaah Malaysia.

Kedua-dua pihak akan membincangkan cara untuk mempermudahkan prosedur visa, memperbaiki sokongan logistik, meneroka cara untuk menyesuaikan perkhidmatan mengikut keperluan dan kehendak jemaah Malaysia, termasuk peningkatan sokongan bahasa.

Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama untuk membangunkan program latihan bagi pengendali umrah Malaysia bagi memastikan perkhidmatan berkualiti tinggi.

Sepanjang lawatan ini, Dr Tawfig dijangka membincangkan dengan pihak berwajib tentang pengembangan hubungan udara antara bandar-bandar utama di Arab Saudi dan Malaysia bagi memudahkan perjalanan jemaah.

Selain itu, lawatan juga bakal menekankan persahabatan yang mendalam antara Kerajaan Arab Saudi dan Malaysia, dua negara penting dalam dunia Islam.

“Ini juga akan menonjolkan komitmen Kerajaan Arab Saudi dalam memperkukuhkan hubungan erat dengan rakan-rakannya dalam dunia Islam selain pencapaian penting dalam memperkukuhkan kerjasama serta pertukaran idea dalam urusan umrah.

“Ini juga melambangkan hubungan erat antara Kerajaan Arab Saudi dan Malaysia yang melangkaui urusan agama, termasuk kerjasama ekonomi, budaya, sosial dan pendidikan,” kata kenyataan itu.

Lawatan ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif strategik yang lebih luas oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, yang bertujuan untuk memenuhi pelbagai keperluan jemaah dari seluruh dunia, bertukar amalan terbaik dalam pengurusan Umrah, memanfaatkan penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan dan kemudahan untuk menunaikan ibadah umrah.

“Kita juga berhasrat untuk memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dalam meningkatkan perkhidmatan Umrah serta mempromosikan pertukaran budaya dan pemahaman antara negara-negara Islam,” katanya kenyataan yang sama.

Inisiatif itu sejajar dengan Visi 2030 Kerajaan Arab Saudi yang menekankan peranannya sebagai ‘jantung dunia Islam’ dalam memperkukuhkan hubungan eratnya dengan negara-negara Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast