KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan MIC Kebangsaan, Thinalan T Rajagopalu kini bergelar Datuk selepas dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) hari ini.
Thinalan yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC mendapat anugerah tersebut sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam ke-75 di Melaka hari ini.
Kata Thinalan kepada MalaysiaGazette, beliau sangat berbesar hati dan menghargai anugerah yang membawa seribu satu makna kepadanya.
Jelasnya, selain keluarga, sahabat handai, beliau menganggap pendorong besarnya dalam kerja-kerja parti adalah Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Timbalan Presiden, Datuk Seri M Saravanan.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam, selamat Hari Lahir TYT, semoga tuhan akan memberikan semua kebaikan dan kesihatan terbaik untuk segalanya Tun.
“Juga ucapan terima kasih dan penghargaan kepada keseluruhan warga MIC khasnya Tan Sri Presiden dan timbalan,” katanya ringkas.
Hari ini Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar mengetuai senarai 299 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka.
Turut menerima darjah kebesaran yang sama adalah Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.
Selain itu, wartawan MalaysiaGazette, Muhammad Rizanizam Abdul Hamid merupakan salah seorang penerima Pingat Jasa Kebaktian pada majlis yang sama. – MalaysiaGazette