KUALA LUMPUR – Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang memberi komitmen membantu keluarga mangsa warga India yang terjatuh dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini Jumaat lalu sekira diperlukan.
Menurut pengerusinya, RSN Rayer, pihaknya sedih dan tidak berputus harap agar mangsa dapat ditemui supaya keluarga berkenaan dapat pulang ke negara asal mereka dengan tenang.
Ahli Parlimen Jelutong itu berkata, musibah itu sesuatu yang mengejutkan semua rakyat di negara ini.
“Kita jangan putus berdoa, kita sangat berharap walau apa pun mangsa dapat ditemukan dalam operasi yang sedang dijalankan oleh SAR (operasi mencari dan menyelamat) saban hari.
“HEB ada membuat lawatan dan mengadakan pertemuan dengan keluarga mangsa hari ini. Memang sedih sekali suasana itu. Pastinya perasaan itu kita tidak dapat luah kerana ini melibatkan nyawa insan tersayang.
“Jika ada apa-apa bantuan dari segi kos untuk keluarga ini, kita juga akan tolong apa-apa yang perlu. Tanggungjawab bersama pastinya akan bantu meringankan mereka,” katanya.
Sebelum itu, mangsa, Vijayaletchumi, 48, berasal dari Andhra Pradesh, India dijadualkan kembali ke negara asal Sabtu lalu bersama keluarganya.
Mangsa yang berjalan melalui kawasan itu secara tiba-tiba terjatuh dalam tanah jerlus sebelum sepasukan bomba dikejarkan ke lokasi pagi Jumaat lalu.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi HEB yang juga Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran berharap tidak ada apa-apa komen negatif terutamanya dalam media sosial yang boleh menyakiti keluarga mangsa.
“Janganlah kita tambah kesakitan dan kesedihanyang sedang dialami oleh keluarga ini, kita perlu terus berdoa pada masa-masa sukar ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: