KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin difahamkan akan didakwa di Mahkamah Gua Musang, Kelantan esok susulan kempennya ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Nenggiri dua minggu lepas.
Perkara itu juga telah disahkan oleh Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor kepada media.
Muhyiddin yang juga mantan Perdana Menteri itu dipercayai melakukan kesalahan berkaitan kaum, agama dan raja (3R) dalam kempen beliau ketika itu.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara (KPN) dilaporkan mengesahkan kertas siasatan berhubung ucapan Muhyiddin yang didakwa menyentuh isu 3R sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Seramai 66 saksi telah tampil membantu siasatan polis.
Muhyiddin difahamkan telah menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Dalam ucapan itu, Muhyiddin didakwa telah sengaja dan sinis memperlekeh peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Susulan itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Muhyiddin itu.
Tengku Hassanal bertitah mahuPolis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Muhyiddin kerana dengan sengaja menyentuh sentimen 3R. -MalaysiaGazette