Seramai lapan pekerja asing ditahan JIM Pulau Pinang selepas didapati melanggar Akta Imigresen.

GEORGE TOWN – Sedar akan kesalahan menggajikan pekerja warga asing tanpa permit, seorang majikan melarikan diri ketika   Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menyerbu di lokasi perniagaannya.

Serbuan itu dilakukan pasukan penguat kuasa JIM di kompleks beli-belah di Jalan Dr Lim Chwee Leong dekat sini, semalam.

JIM Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, hasil pemeriksaan di premis berkenaan mendapati lapan pekerja warga asing ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah untuk tinggal dan bekerja di negara ini.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki China, seorang lelaki Myanmar serta lima warga Indonesia termasuk seorang wanita.

“Kesemua mereka berusia 30 hingga 50 tahun itu ditahan selepas disyaki tidak memiliki pas yang sah dan melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Selain itu, kita juga sedang gerakan usaha mengesan majikan terbabit untuk dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya.

Lelaki warga Paksitan ditahan selepas didapati bekerja sebagai pengawal keselamatan tanpa permit sah.

Sementara itu dalam operasi berasingan, JIM Pulau Pinang turut menahan seorang lelaki Pakistan berumur 46 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah rumah ibadat di Lebuh Faquhar di sini.

“Warga asing itu didapati gagal mengemukan dokumen perjalanan dan tangkapan dibawa ke Depot Imigresen Juru untuk siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast