Uqasha Senrose.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Uqasha Senrose tampil membuat pendedahan di media sosial berkaitan sikap bekas pembantu peribadinya.

Uqasha, 32, atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nik Sen mendakwa bekas pembantu peribadi (PA) itu sudah bertindak memfitnah serta mengaibkan dirinya dengan tuduhan tidak benar.

“Dia ingat dengan fitnah dan aib yang cuba dia buat sekarang akan berjaya. Dengan banyak hutang dan pinjam duit sana sini, siapa yang dahulukan?

“Saya tidak cakap kosong, saya cakap sekali dengan bukti,” katanya menerusi perkongsian beberapa hantaran yang dimuatnaik di Instagram Story (IGs) miliknya selepas tular isu dakwaan memukul bekas pembantu peribadinya itu.

Uqasha, 32, menambah, dia telah memberikan layanan yang baik kepada bekas pembantu peribadinya termasuk tetap membayar gaji wanita terbabit walaupun dia tiada tawaran penggambaran.

“Selepas beberapa orang buang awak (bekas pembantu peribadi) kerja, saya ambil awak bekerja tanpa bertanya sejarah awak. Layan dengan baik, siap duduk rumah (saya) macam rumah sendiri.

“Ada bukti perbualan tapi tak mahu malukan dia. Dari bulan Oktober sampai Jun, saya tiada penggambaran tapi gaji bulanan tetap beri tanpa potong. Tapi ini balasan dia pada saya,” jelasnya.

Uqasha juga berkongsi sikap ‘kurang manis’ bekas pembantu peribadinya yang didakwa bertindak sesuka hati masuk ke bilik tidurnya dan pernah juga memakai pakaian miliknya tanpa izin.

“Pertama sekali, masuk bilik peribadi saya tanpa kebenaran dan macam mana dia tahu ada duit banyak dalam (bilik) itu, saya pun tak tahu. Dah ada pembantu rumah kemaskan bilik saya, kenapa dia juga nak masuk kemas bilik saya?

“Tambah pula, dia main pakai baju tidur saya sesuka hati,” katanya turut mendakwa bekas pembantu peribadinya itu suka mengadu domba mengenai majikan sendiri.

Dalam pada itu, menerusi hantarannya juga Uqasha memaklumkan dia sebenarnya sudah cuba sedaya-upaya tidak mahu membuka aib orang kerana ingin menyelesaikan permasalahan secara baik.

Sejak minggu lalu, nama Uqasha yang juga isteri pelakon, Kamal Adli itu menarik perhatian ramai terutama di media sosial apabila dikaitkan isu seorang pelakon wanita popular didakwa bertindak kasar terhadap bekas pembantu peribadinya.

Semalam media melaporkan laporan polis yang mendakwa seorang pelakon wanita memukul pembantu peribadi baru-baru ini tular di laman sosial.

Menerusi laporan itu, pelakon yang dimaksudkan ialah Uqasha dan menerusi laporan sama, sepupunya yang juga pelakon, Aprena Manrose juga didakwa terbabit memukul individu berkenaan dalam kejadian berlaku pada 6 Ogos lalu di pejabat Senrose Cosmetic.

Usaha media cuba mendapatkan penjelasan daripada Aprena bagaimanapun tidak berjaya apabila panggilan telefon dan kiriman mesej kepadanya tidak dibalas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast