Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir ke mahkamah bagi memberikan keterangan saksi berhubung saman terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan memfitnah asal usul pada 2017 ketika di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberi keterangan sebagai saksi utama dalam saman isu Kutty terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini terus memberi penegasan namanya Mahathir bin Mohamad  bukan sebaliknya.

Tegas bekas Perdana Menteri dua kali itu, Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty itu adalah dakwaan dan pembohongan yang dikeluarkan Ahmad Zahid.

Ketika mengeluarkan kenyataan sekitar tahun 2017, Ahmad Zahid ketika itu Menteri Dalam Negeri pada era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Hari kedua prosiding di hadapan Pesuruhjaya Tinggi, Gan Techiong, Dr Mahathir berkata, Ahmad Zahid hanya menunjukkan ‘gambar’ bukan kad pengenalan (IC) beliau yang mencatatkan namanya sebagai Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty.

“Saya bertindak menyaman defendan (Ahmad Zahid) kerana mengelar saya Mahathir Iskandar Kutty. Sudah saya nyatakan sejak lahir sehingga kini, nama sebenar saya adalah Mahathir bin Mohamad.

”Jika Ahmad Zahid boleh tunjuk kad pengenalan itu, saya percaya padanya.

“Saya juga tidak menipu kononnya nama saya adalah Mahathir Mohamad. Itulah nama saya yang sebenar. Saya tidak perdaya masyarakat umum dan bersembunyi di sebalik indentiti yang disebutkan oleh defendan.

“Saya telah dilahirkan sebagai Melayu dan nama saya ialah Mahathir bin Mohamad,” katanya ketika soal balas pembelaan.

Beliau juga tidak sesekali berasa malu mempunyai darah India seperti segelintir pihak tetapi pada masa sama beliau dilahirkan sebagai Melayu.

Jelas beliau, dirinya tidak berminat untuk bercerita tentang asal usul dan keturunannya tetapi bertindak menyaman Ahmad Zahid kerana mengeluarkan fitnah kononnya beliau telah menipu orang Melayu selama ini untuk kepentingan politiknya.

“Saya tidak malu untuk katakan saya ada darah India tetapi itu tidak bermakna saya bukan Melayu. Saya adalah Melayu Penang (Pulau Pinang) bukan Jawi Peranakan. Mohamed Iskandar adalah bapa saya yang kadangkala dipanggil Mohamed bin Iskandar.

“Benar saya mempunyai asal usul Kerala, India tetapi itu saya tidak pasti mungkin datuk atau moyang saya berasal dari sana namun bapa saya tidak pernah bercakap tentang perkara itu. Bapa saya lahir di negara ini,” tegasnya.

Peguam Ahmad Zahid, Mohd Shahrul Fazli Kamarulzaman ada menunjukkan beberapa buku yang menulis asal usul Tun Dr Mahathir yang menyebut beliau berketurunan Kerala, Malayalee di utara India.

Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, penulis-penulis itu menulis berdasarkan pandangan mereka.

Dr Mahathir sempat mencelah dan memberikan pandangan dalam perkara itu sambil memberikan contohnya.

“Jika saya melawat Pakistan, ada kata saya berasal dari sana. Jika pergi ke Bangladesh, katanya asal usul saya dari sana. Jika ke Sri Lanka, ada juga berkata, saya datang dari sana. Semua itu pandangan mereka.

“Semua ini tidak benar kerana saya lahir di sini sebagai Melayu yang bernama Mahathir bin Mohamad,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika prosiding berjalan tanpa henti, hakim ada meminta jika Dr Mahathir mahu berhenti sebentar namun beliau minta soal balas itu diteruskan.

Prosiding bersambung ketika ini.

Dr Mahathir mendakwa, Ahmad Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di beberapa media dan boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

Dakwanya, kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ dan menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast