KUALA LUMPUR – Grant Thornton Malaysia PLT (GTM) dan rakan kongsi auditnya Mohamad Heizrin Sukiman, masing-masing didenda sebanyak RM150,000 dan RM37,500 oleh Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kerana gagal mematuhi keperluan penggiliran rakan kongsi.
Heizrin telah melanggar keperluan utama Undang-undang Kecil Institut Akauntan Malaysia (Mengenai Etika, Kelakuan dan Amalan Profesional) (Undang-undang Kecil MIA) ketika tempoh peralihan Undang-undang Kecil MIA yang telah disemak.
SC berkata, Heizrin merupakan rakan kongsi penglibatan dan penyemak kualiti tugasan dalam audit entiti berkepentingan awam (PIE) dari tahun 2013 hingga 2017.
Berikutan itu, beliau dikehendaki melalui tempoh bertenang sekurang-kurangnya tiga tahun berturut-turut.
Walau bagaimanapun, beliau gagal berbuat demikian dan telah terlibat dalam audit PIE tersebut selama lebih tujuh tahun.
Undang-Undang Kecil MIA menetapkan rakan kongsi tugasan audit tidak boleh terlibat dalam tugasan audit untuk tempoh lebih daripada tujuh tahun berturut-turut untuk memastikan kebebasan audit.
“AOB memandang serius pelanggaran itu kerana kebebasan juruaudit dan pematuhan piawaian etika adalah keperluan penting untuk profesion audit,” katanya dalam kenyataan di sini.
GTM gagal memenuhi objektif kualiti Piawaian Antarabangsa tentang Pengurusan Kualiti (ISQM) 1 seperti yang diterima pakai oleh MIA, khususnya mengenai ketidakpatuhan terhadap keperluan etika yang relevan, termasuk yang berkaitan dengan kebebasan (iaitu Undang-Undang Kecil MIA).
SC berkata, GTM dan Heizrin telah membuat rayuan kepada SC terhadap tindakan penguatkuasaan AOB. SC telah mendengar rayuan tersebut dan selepas melalui proses yang sewajarnya,
telah mengesahkan keputusan AOB. – MalaysiaGazette