GEORGE TOWN – Enam suspek yang aktif dalam kegiatan samun dan pecah kuil sekitar Seberang Perai sejak dua tahun lalu diberkas dalam lima serbuan di negeri ini dan Selangor.
Ketua Polis negeri Datuk Hamzah Ahmad berkata, kesemua suspek berusia 18 hingga 42 tahun itu ditahan menerusi serbuan yang dilancarkan Bahagian Siasatan Khas (D9) bermula 3 Julai hingga 23 Ogos lalu.
“Siasatan mendapati kumpulan ini terlibat dalam jenayah samun dan pecah kuil membabitkan tiga daerah dalam Seberang Perai dan aktif sejak 2022.
“Dalam serbuan itu polis turut merampas sebuah motosikal, wang tunai berjumlah RM600, beberapa keping resit pajak gadai.
“Turut dirampas rantai emas yang disamun daripada sebuah kedai pajak gadai di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Hamzah, semakan lanjut mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Kesemua tangkapan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“PDRM amat komited dan proaktif dalam melumpuhkan mana-mana kumpulan atau individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah kekerasan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette