BAITULMUQADDIS – Kementerian Warisan Israel merancang untuk memulakan pembiayaan dan menjalankan lawatan berpandu berpuluh ribu penganut Yahudi ke Masjid al-Aqsa yang dikenali mereka sebagai Temple Mount.
Kenyataan kementerian itu, yang diketuai oleh Amichai Eliyahu dari parti ultranasionalis Otzma Yehudit, dibuat selepas stesen penyiar Israel, Kan melaporkan pada Isnin lalu bahawa rancangan itu telah diluluskan oleh polis.
Tindakan membiayai penganut Yahudi ke Masji al-Aqsa menjadi siri cabaran terbaharu terhadap status quo tapak suci ketiga umat Islam.
Menurut kementerian itu, peserta dalam lawatan itu akan “mendengar kisah warisan Yahudi yang tepat dari segi sejarah, bebas daripada fakta alternatif dan naratif pembohongan yang ditulis untuk memajukan agenda antisemitik.”
Menurut media Israel projek itu dijangka menelan kos kira-kira NIS 2 juta ($543,000) dan bermula selepas musim Cuti Tinggi Yahudi pada musim luruh ini.
Kan turut melaporkan, dokumen daripada Komander Polis Daerah Baitulmuqaddis Amir Arzani meluluskan lawatan itu.
Menurut polis, “lawatan akan dijalankan dalam rangka lawatan sedia ada ke kawasan Temple Mount, dan mengikut peraturan untuk melawat tapak itu.”
Lawatan berpandu seumpama itu sudah dijalankan oleh kumpulan aktivis dan badan bukan kerajaan yang menyokong peningkatan kehadiran Yahudi di Masjid al-Aqsa namun sehingga kini tidak ada yang dijalankan atau dibiayai secara langsung oleh kementerian kerajaan.
Pengumuman projek itu merupakan siri provokasi terhadap kesucian Masjid al-Aqsa oleh Kerajaan Israel.
Sebelum ini Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben Gvir, yang mengetuai parti Otzma Yehudit, menyatakan bahawa ia adalah “dasar” beliau untuk membenarkan solat Yahudi di kawasan Masjid al-Aqsa ketika video diedarkan tentang lelaki Yahudi bersujud di tapak tersebut.
Ahli politik sayap kanan itu membuat kenyataan itu semasa melawat Masjid al-Aqsa pada akhir Julai, pada hari puasa Yahudi Tisha b’Av, yang memperingati pemusnahan Kuil Yahudi yang didakwa pernah berdiri di tapak itu.
Walaupun undang-undang Israel secara teknikal membenarkan orang Yahudi berdoa di mana-mana sahaja di negara ini, mahkamah telah lama mengekalkan budi bicara polis untuk menguatkuasakan larangan solat Yahudi.
Ia sebagai sebahagian daripada perjanjian status quo sensitif yang mengawal tapak itu, yang dianggap sebagai tapak paling suci dalam agama Yahudi dan ketiga- paling suci dalam Islam.-Agensi