Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) perlu menyediakan laporan bulanan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, langkah itu susulan  beberapa isu teknikal yang dialami syarikat penerbangan nasional itu baru-baru ini.

Menurutnya, pembaharuan Sijil Operator Udara (AOC) syarikat penerbangan itu juga telah dikurangkan daripada tiga tahun kepada setiap tahun berdasarkan rancangan mitigasi Malaysia Airlines.

“Sebelum sijil mereka (Malaysia Airlines) tamat, mereka perlu menjalani satu lagi audit. Mengurangkan tempoh pembaharuan juga memastikan Malaysia Airlines perlu melaksanakan langkah-langkah yang perlu seperti yang digariskan dalam pelan mitigasi oleh CAAM.

“Idea keseluruhannya untuk memastikan kami mempunyai pengawasan menyeluruh dan audit yang lebih kerap. Mereka mesti membuat laporan bulanan kepada CAAM mengenai perkembangan rancangan mitigasi mereka,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini, hari ini.

Loke menambah, CAAM telah menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas Malaysia Airlines dan jabatan kejuruteraannya pada 24 Jun hingga 28 Jun tahun ini.

Berdasarkan penemuan itu,  antara isu penting yang menyebabkan gangguan teknikal baru-baru ini ialah komponen mekanikal dan kekurangan pekerja mahir untuk menjalankan penyelenggaraan pesawat.

Katanya, 63 daripada 411 pekerja mahir di jabatan kejuruteraan Malaysia Airlines telah meninggalkan syarikat itu sejak Januari tahun ini.

“Malaysia Airlines juga telah menggariskan pelan mitigasi dengan penekanan untuk memastikan keselamatan pesawat serta meningkatkan kebolehpercayaannya. Program pengambilan juga akan dijalankan secara agresif oleh syarikat penerbangan itu,” ujarnya.

Katanya lagi, syarikat penerbangan nasional itu juga perlu mendapatkan alat ganti pesawat yang mencukupi daripada pengeluar peralatan asal.

Tegas beliau, CAAM akan terus memantau dan menjalankan audit khas ke atas syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia itu bagi memastikan semua aspek keselamatan dipatuhi dengan ketat.

“Semua syarikat penerbangan mesti mematuhi. Tiada kompromi dalam soal keselamatan penumpang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Loke berkata, laporan itu turut akan dibentangkan ke Kabinet.

Jelas beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandang serius perkara itu dan beliau sendiri telah mempengerusikan mesyuarat dengan Lembaga Pengarah Khazanah Nasional (Khazanah) kelmarin.

“Perdana Menteri telah mengarahkan Khazanah untuk melaksanakan langkah-langkah mitigasi segera yang akan disampaikan kepada pengurusan Malaysia Airlines untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Keputusan itu dibuat selepas berlakunya insiden teknikal ke atas sebuah pesawat milik syarikat penerbangan itu baru-baru ini.

Insiden itu telah menyebabkan sebuah pesawat yang dalam penerbangan terpaksa berpatah balik dan melakukan pendaratan cemas.

Pada 22 Ogos, penerbangan Malaysia Airlines menuju ke Madinah terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kejadian adalah yang ketiga pada bulan ini.

Menurut data FlightRadar24, pesawat MH152 berpatah balik semasa terbang di atas Kepulauan Nicobar, di Laut Andaman.

Sehari sebelumnya, penerbangan MAS MH386 ke Shanghai terpaksa berpatah balik ke KLIA kerana isu tekanan kabin.

Pada 20 Ogos pula, penerbangan MH128 dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Melbourne terpaksa mendarat cemas di Alice Springs di Wilayah Utara Australia.

Minggu lalu, bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menggesa Kementerian Pengangkutan segera menyiasat dan membantu Malaysia Airlines bagi mengelak kejadian serupa berulang lagi. – MalaysaiGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast