Tiga mukim dalam daerah Langkawi, Kedah terjejas akibat banjir hari ini.

LANGKAWI – Tujuh buah kampung membabitkan mukim Padang Matsirat, Bohor dan Kuah di sini, terjejas akibat banjir hari ini.

Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pegawai Pertahanan Awam Langkawi, Kapten (PA) Khairul Afzan Md Yasin berkata, hujan lebat berterusan sejak tengah malam hingga pagi ini mengakibatkan beberapa kawasan ditenggelami air.

Jelas beliau, hujan lebat itu turut mengakibatkan limpahan air dari sungai utama di Mukim Bohor dan sungai Melaka bagi Mukim Padang Matsirat .

“Pasar Awam Padang Matsirat, Kampung Limbung Putra dan Kampung Atas Kampung Batu Ara antara yang terjejas akibat banjir bagi mukim Padang Matsirat.

“Bagi mukim Bohor, Kampung Atas Bukit Kemboja, Kampung Nyior Chabang dan Kampung Lubuk Setul manakala mukim Kuah pula, hanya Kampung Kerman Sungai Menghulu terjejas,” katanya dalam kenyataan media.

Tambahnya, sebanyak 10 buah rumah terjejas di Kampung Limbung Putra dengan jumlah 40 mangsa.

“Ketika ini paras air semakin surut namun masih belum melepasi paras berjaga-jaga,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast