Abdu Gapur Doli Ahmad dituduh membunuh dua anak, isteri dan salah guna dadah di Mahkamah Majistret Alor Setar

ALOR SETAR- Seorang lelaki etnik Rohingya dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isteri dan dua anaknya, serta penyalahgunaan dadah.

Abdu Gapur Doli Ahmad, 43, yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian, menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh  isterinya Nor Begam Md Yasin dan anak bongsunya Abdul Hakim Abdu Gapur, berusia setahun 11 bulan.

Kedua-dua kesalahan itu masing-masing didakwa dilakukan di belakang sebuah bangunan kosong, Lebuhraya Sultan Abdul Halim dan di hadapan sebuah premis di Jalan Pegawai antara 11.30 malam 18 Ogos dan 12.30 tengah malam 19 Ogos.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu lelaki itu boleh dihukum mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika disabit bersalah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan, kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2024/08/19/mayat-dua-wanita-ditemukan-di-dalam-longkang/

https://malaysiagazette.com/2024/08/20/dua-mayat-dalam-longkang-suami-bapa-mangsa-jadi-suspek-utama/

 

Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 26 Nov sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan bedah siasat dan forensik.

Sementara itu, di sebuah lagi mahkamah majistret Abdu Gapur didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh anak sulungnya Lianaata Abdu Gapur, 10, di belakang sebuah bangunan kosong di Lebuhraya Sultan Abdul Halim antara 11.30 malam, 18 Ogos dan 12 tengah malam, 19 Ogos.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah menetapkan 26 Nov sebagai tarikh sebutan semula kes bagi laporan bedah siasat dan forensik.

Di mahkamah sama, lelaki itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan memasukkan ke dalam dirinya dadah berbahaya iaitu Amphetamine, Methamphetamine dan Morphine, di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada 1.50 pagi, pada 20 Ogos.

Pendakwaan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang meperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Mahkamah tidak menjatuhkan hukuman bagi kesalahan tersebut sementara menunggu laporan patalogi yang ditetapkan pada 26 Nov.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia M. Kaneson, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast