GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyangkal dakwaan penduduk Taman Hong, di sini, berhubung prestasi perkhidmatan majlis tersebut.
Pengarah Khidmat Pengurusan MBPP, Azman Sirun berkata, kutipan sampah di kawasan pengumpulan yang disediakan bagi penduduk Taman Hong Seng dan Ladang Hong Seng dilakukan setiap hari oleh pihaknya.
Jelas beliau, limpahan sampah berlaku berpunca daripada orang awam yang melakukan pembuangan selepas masa kutipan sampah dibuat.
“Bagaimanapun, bagi mengatasi isu ini kita akan menyediakan tong sampah tambahan untuk menggelak berlaku isu limpahan sampah.
“Berkenaan anjing liar, MBPP telah melakukan operasi tangkapan dan kawalan populasi anjing di kawasan berkenaan.
“Mengikut rekod, kita telah laksanakan sembilan operasi tangkapan dan sebanyak tujuh ekor anjing liar telah ditangkap untuk bulan ini (Ogos),” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Mengulas lanjut Azman turut memaklumkan tindakan penangkapan lembu yang berkeliaran dan tindakan mengkompaun penternak lembu juga dibuat selaras dengan Undang-Undang Kecil lembu/kerbau Bandaraya George Town 1968.
“Kita juga menyediakan talian hotline yang beroperasi 24 jam bagi kemudahan orang awam menyalurkan aduan melalui panggilan telefon 04 263 7000 atau menghantar aduan melalui aplikasi WhatApps di 016 200 4082.
“Perkhidmatan ini adalah bertujuan untuk membantu orang awam menyelesaikan isu dengan secepat mungkin,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette semalam melaporkan penduduk Taman Hong Seng meluahkan rasa kecewa apabila masalah yang diajukan kepada pihak berkaitan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Lee Boon Heng sejak dua tahun tidak dipedulikan atas alasan tanah kediaman mereka milik orang persendirian.
Rata-rata mereka mendakwa gangguan anjing liar, masalah sampah lambat dipungut serta lembu dibiarkan tanpa pengawasan pemilik antara masalah yang tidak berkesudahan membelenggu penduduk taman tersebut. – MalaysiaGazette.