KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen PKR menyatakan beliau memiliki lesen senjata api berikutan tular rakaman video yang memaparkan senjata itu dibawa pada sidang media di Stadium Cheras, Kuala Lumpur, dua hari lalu.
Abdullah Sani Abdul Hamid menjelaskan perkara tersebut menerusi hantaran di aplikasi X yang telah menimbulkan kebimbangan orang ramai.
“Sebagai pemegang lesen sejak 2012 dan pemilik senjata api, senjata itu tidak boleh ditinggalkan di mana-mana sahaja dan mesti sentiasa berada dalam simpanan saya.
“Oleh itu, bukan hanya di stadium, saya membawanya ke mana sahaja saya pergi,” katanya dalam ciapan di aplikasi X.
Terdahulu, tular video berdurasi 14 saat memaparkan Abdullah Sani hadir pada sidang media yang dianjurkan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Sebaik sahaja Abdullah Sani bangun, kelihatan objek menyerupai pistol yang berada dalam sarungnya terselit di pinggang selepas beliau mengalihkan jaketnya untuk mengambil telefon.
Abdullah Sani adalah Ahli Parlimen Kuala Langat selama dua penggal dari tahun 2008 hingga 2018 sebelum memegang kerusi Parlimen Kapar pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Bagaimanpun, beliau gagal mempertahankan kerusi tersebut dalam PRU 2022, selepas ditewaskan oleh Dr Halimah Ali dari Pas. – MalaysiaGazette