NIBONG TEBAL – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Seri Sarjana di sini sejak 26 Ogos lalu.
Ibu mangsa, Jamilah Mat Isa, 54, berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu, Siti Aisyah Jasni didapati tidak pulang selepas keluar rumah pada hari kejadian.
“Pada hari kejadian saya terima panggilan daripada Siti Aisyah sebelum dia bertanyakan pukul berapa saya akan pulang ke rumah dari tempat kerja.
“Saya memaklumkan akan pulang seperti biasa tanpa mengesyaki apa-apa yang pelik. Bagaimanapun sebaik pulang ke rumah jam 4.30 petang saya dapati dia tiada di rumah.
“Susulan itu, usaha mencarinya dilakukan dengan kerjasama jiran namun gagal sebelum saya buat laporan polis,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Sehubungan itu, Jamilah memohon bantuan daripada semua untuk bersama-sama mendoakan dan membantu menyebarkan hebahan ini kepada semua pihak agar anaknya ditemui dalam keadaan selamat.
“Hari ini sudah masuk hari kelima Siti Aisyah hilang tanpa sebarang khabar dan sebagai ibu semestinya saya khuatir sesuatu buruk menimpanya.
“Sekiranya orang ramai menemui Siti Aisyah di mana-mana, mohon hubungi saya di talian 011 5501 1468 atau balai polis berhampiran,” katanya. – MalaysiaGazette