Orang ramai menyerbu Zoo Johor di Bandar Raya Johor yang dibuka semula hari ini.

JOHOR BAHRU – Zoo Johor di tengah bandar raya ini yang dibuka semula hari ini selepas dinaik taraf perlukan sumbangan bagi membiayai kos bekalan makanan haiwan di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, antara usaha dilakukan dengan menyertai program haiwan angkat Zoo Johor.

Jelasnya, program berkenaan sudah dimulakan beberapa bulan lalu dan kerajaan negeri mengalu-alukan syarikat korporat, individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertainya.

“Gerak kerja (haiwan angkat) telah dimulakan. Ada beberapa agensi negeri dan Persekutuan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang sangat berminat untuk jadi keluarga angkat kepada haiwan di zoo ini.

“Kempen ini penting kerana makanan untuk haiwan di zoo agak mahal. Contohnya, untuk gajah setahun kita belanja dalam RM250,000, untuk makanan sahaja,” katanya kepada pemberita ditemui selepas meninjau hari pertama pembukaan semula Zoo Johor.

Zoo Johor yang ditutup sejak 2020 ketika pandemik Covid-19 dan seterusnya menjalani proses naik taraf dibuka secara rasmi untuk orang ramai pada hari ini.

Zoo Johor yang berusia 96 tahun itu terletak di atas tanah seluas 4.73 hektar dan terdapat lebih 275 ekor koleksi haiwan antaranya, harimau, ungka, gajah, tapir, burung dan buaya.

Sebelum ini Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, Zoo Johor perlu menjadi antara lokasi pelancongan baharu di negeri itu sekali gus menarik pengunjung dari dalam dan luar negara.

Baginda bertitah, Zoo Johor adalah hasil sumbangan Almarhum Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar pada waktu itu dan merupakan zoo yang tertua di negara ini.

Mengulas lanjut, Mohd Jafni berkata, proses naik taraf bagi fasa kedua taman haiwan itu juga dijangka bermula awal tahun depan.

Katanya, proses berkenaan membabitkan penambahan parkir, kiosk jualan tiket selain penambahan beberapa lagi koleksi haiwan.

“Hari ini, kita akan cuba kenal pasti dahulu isu-isu yang ada dan kita akan perbaiki seperti penambahan parkir, mungkin kiosk tiket dan juga penambahan binatang seperti burung dan monyet.

“Kita akan cuba buat yang terbaik, setakat ini, kita sediakan empat buah bas percuma, parkir percuma sebanyak 500 petak,” katanya.

Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM1 juta setiap tahun melibatkan kos penyelenggaraan, gaji kakitangan serta makanan untuk haiwan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast