KUALA LUMPUR – Walaupun operasi dan mencari (SAR) mangsa tanah jerlus telah ditamatkan sepenuhnya jam 2 petang semalam, namun pergerakan pengunjung ke kawasan Jalan Masjid India masih belum dilonggarkan.
Tinjauan MalaysiaGazette, mendapati penghadang jalan pada jarak 100 meter di hadapan pondok polis Masjid India sehingga lokasi tanah jerlus masih belum dialihkan sepenuhnya.
Pita kuning larangan melintas oleh pihak polis juga masih belum ditanggalkan.
Sementara itu, empat khemah kawalan polis yang didirikan sejak awal kejadian juga belum dialihkan.
Selain anggota polis dilihat sedang mengawal keselamatan lokasi, beberapa pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga turut berada di sana.
Selain itu, jengkaut penggali tanah yang diletakkan di hadapan pondok polis Masjid India selepas terbentuknya mendapan kedua pada jarak kira-kira 50 meter dari lokasi tanah jerlus juga masih tidak dialihkan.
Kawasan itu juga ditutup dengan penghadang jalan.
Berdasarkan pemerhatian MalaysiaGazette, orang ramai dibenarkan berjalan di tepi deretan premis perniagaan ke arah Masjid India namun dilarang melintas ke seberang iaitu di lokasi tanah jerlus.
Dalam kejadian antara 8.10 pagi hingga 8.20 pagi 23 Ogos lalu, mangsa Vijaya Lakshmi Goli, 48 yang berasal dari negeri Andhra Pradesh, India tertimbus pada kedalaman 10 meter selepas tanah jerlus berlaku di Majid India.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN