KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, mengarahkan agar pihak pembelaan tidak mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang melibatkan seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom, 38, kepada umum.
Ia berkaitan pertuduhan pindaan memperdagang enam pucuk pistol pelbagai jenis dan memiliki 200 peluru di sebuah hotel di ibu negara, Mac lalu.
Perkara itu dimohon pasukan pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rulizah Abdul Majid semasa prosiding di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin, hari ini.
“Kami telah menerima semua dokumen termasuk rakaman CCTV tersebut dan hari ini telah menyerahkan barangan tersebut kepada pihak pembelaan.
“Namun, kami memohon supaya ia tidak disebarkan kepada mana-mana pihak lain memandangkan rakaman itu sudah dianalisis pihak forensik dan akan dijadikan sebagai ekshibit (barang kes),” katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili Avitan, Jeffry Ooi tidak membantah dan memohon mahkamah untuk membenarkan pihaknya mengemukan saksi pakar yang akan dilantik tanpa didedahkan kepada umum.
“Kami tiada bantahan tapi memohon kepada mahkamah untuk membenarkan perkara ini agar pakar kami (saksi pakar) dapat meneliti atau menganalisa rakaman tersebut,” jelasnya.
Pada prosiding itu juga, Rullizah memohon mahkamah untuk melapangkan tarikh-tarikh baharu perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini.
Ujarnya, ia berikutan prosiding kes terbabit bertindih dengan kes-kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sepanjang tarikh perbicaraan yang bermula 30 September.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan itu pada 30 September, 1 hingga 3 Oktober yang kemudian bersambung pada 7 hingga 11 Oktober.
“Pihak pendakwaan minta diubah kerana Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P. Kunyalam mempunyai perbicaraan lain dan mohon menjadualkan semula.
“Jika dibenarkan, kami berharap perbicaraan ditetapkan semula pada 30 September ini dijadikan sebagai sebutan semula kes terlebih dahulu,” ujarnya.
Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak tersebut, Norina menetapkan 30 September ini bagi sebutan semula kes dan penetapan tarikh perbicaraan baharu.
Pada Mei lalu, Avitan, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan pindaan memperdagang enam pucuk pistol pelbagai jenis dan memiliki 200 peluru di sebuah hotel di ibu negara, Mac lalu.
Mengikut pertuduhan pindaaan pertama, Avitan didakwa memperdagang enam jenis pistol antara jam 6.46 petang, 26 Mac dan 6 petang, 28 Mac lalu di Hotel Four Seasons, Jalan Ampang.
Enam pistol berkenaan adalah Glock 19 USA 9x 19 (sebelum ini 9x 10), Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P (sebelum ini N&P), 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F (pindaan pada nombor siri).
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa memiliki satu kotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd yang masing-masing mengandungi 50 butir peluru.
Ia termasuk 16 butir peluru yang berada di dalam senjata api Glock 17, 11 butir peluru yang berada di dalam senjata api, M&P 9C Smith & Wesson dan 15 butir peluru dalam senjata api, Stoeger Cougar 8000F.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara pukul 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lepas. – MalaysiaGazette