KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland berkaitan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang menjatuhkan hukuman penjara dan denda kepada dua individu membuktikan Datuk Seri Najib Razak tidak terlibat dalam penyelewengan itu.
Ini kerana kedua-kedua tertuduh itu, Ketua Eksekutif PetroSaudi, Tarek Obaid dan Patrick Mahony seorang pengarah di syarikat penerokaan dan pengeluaran minyak Arab Saudi sebenarnya hanya dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Menurut peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ketika prosiding juga difahamkan hanya Jho Low bersama-sama dua tertuduh itu dikaitkan dengan penyelewengan berbilion ringgit dana 1MDB.
“Minggu lepas adanya keputusan tentang penglibatan dan penyelewengan Tarek Obaid dan Patrick Mahony, mahkamah telah perintahkan kedua-dua mereka bayar kembalikan lebih AS$2bilion yang telah mereka seleweng dengan Jho Low.
“Kedua-dua juga masing-masing telah diberikan hukuman penjara enam dan tujuh tahun.
“Apa yang menarik di sini, nama Datuk Seri Najib tidak disebut kononnya Jho Low ini adalah wakil kepada beliau sebaliknya hanya nama Jho Low sahaja disebut.
“Sebelum ini ketika sesi soal balas kita dengan saksi pendakwaan, Datuk Shahrol Azral Ibrahim, beliau juga ada mendedahkan Jho Low hadir mesyuarat pada September 2009 sebagai wakil kepada Putera Turki Abdullah Abdul Aziz Al Saud dan Petrosaudi International Ltd (PSI).
“Saksi ini juga pernah menafikan Jho Low terlibat dengan Najib atau menerima arahan Najib ketika disoal Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) oleh dua pemimpin DAP, kini dua tertuduh ini juga dikaitkan dengan Jho Low bukan Najib,” katanya pada sidang media selepas hujahan akhir 1MDB di lobi mahkamah di sini hari ini.
Kata Muhammad Shafee, hanya naratif jahat sahaja yang mengaitkan bekas Perdana Menteri itu dengan penipuan, penyelewengan yang telah dilakukan oleh Jho Low bersama-sama Tarek Obaid dan Patrick Mahony.
Ketika ini, katanya, pihaknya merancang untuk menulis secara rasmi kepada Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland untuk mendapatkan penghakiman penuh sabitan dan hukuman penjara terhadap dua eksekutif PSI.
“Ini juga untuk mengukuhkan pembelaan kita kononnya anak guam kami telah melakukan kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB berjumlah RM2.27 bilion. Najib tidak disebut pun ketika mahkamah beri penghakiman dan jatuh hukum.
“Mahkamah itu juga mendapati Jho Low ini sebenarnya bersubahat dengan Obaid dan Mahony dan bukan menurut perintah atau bersekutu dengan Najib seperti tanggapan serta naratif segelintir (pihak),” tegasnya.
Sebelum ini, ketika pembukaan bicara 1MDB, pendakwaan berhujah Jho Low ini adalah ‘cerminan’ Najib selain mendakwa antara komplot termasuklah pemeteraian usaha sama 1MDB dengan PSI pada 2009 yang menyebabkan sebanyak RM3.04 bilion diselewengkan.
Najib ketika ini sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion dana 1MDB.
Sebelum ini pendakwaan sudah memanggil 50 saksi, termasuk bekas pegawai 1MDB Jasmine Loo yang didakwa sebagai antara sekutu rapat Jho Low. – MalaysiaGazette