Menteri Komunikasi yang juga merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil beramah mesra bersama peserta-peserta yang menyertai Karnival Hari-Hari Bola bersempena Piala Madani Parlimen Lembah Pantai di Padang C, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 7 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Isu mengenai pensijilan halal yang kini menjadi polemik dalam kalangan ahli politik kerajaan dan pembangkang akan diselesaikan secara baik.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil telah memohon Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bertemu dengan pihak berkenaan yang terlibat dalam pertelingkahan isu itu.

“Saya tidak ada maklumat penuh apa yang mereka katakan. Insya-Allah perkara ini akan diurus dan pagi tadi saya di Istana Negara sempat bercakap dengan Menteri Hal Ehwal Agama dan saya pohon beliau bertemu dengan pihak berkenaan ada perbincangan dan kita boleh jernihkan keadaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Karnival Hari-Hari Bola di Universiti Malaya di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari bahawa pemimpin kerajaan perpaduan terutama Ahli Parlimen DAP digesa tidak membuat kenyataan mengenai pensijilan halal.

Beliau berkata, DAP yang berada dalam kerajaan harus mengelak daripada bercakap soal-soal berkaitan agama Islam kerana isu berkenaan bukan mengenai tidak menyajikan daging babi serta alkohol sahaja.

Tegasnya, ia akan meneguhkan lagi persepsi bahawa DAP seolah-olah anti kepada perkara-perkara berkait agama ini.

Ahmad Fadhli mengulas kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang berkata cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Naib Pengerusi DAP itu berkata, langkah tersebut bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh membidas Teresa yang dilabelnya ‘nyonya tua’ supaya tidak mencampuri urusan agama Islam.

Semalam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dilapor mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast