KUANTAN – Seorang pesara guru kerugian lebih RM300,000 kerana diperdaya dua individu yang menyamar sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan polis.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, wanita warga emas itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada individu mengaku pegawai TNB itu pada 18 Ogos lepas memaklumkan terdapat tunggakan bil elektrik atas namanya.
“Panggilan telefon tersebut kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang kononnya adalah pegawai polis. Suspek mengatakan terdapat waran tangkap terhadap mangsa kerana terlibat dengan pengubahan wang hHaram,” katanya dalam kenyataan.
Yahaya berkata, mangsa telah diarahkan membuat pemindahan semua duit simpanan ke dalam sebuah akaun bank miliknya dan mengarahkan mangsa meletakkan kad ATM beserta nombor pin di lokasi yang diberi.
Selepas itu pada 28 Ogos, mangsa telah diarahankan untuk meletak semua barang kemas miliknya dengan anggaran bernilai RM50,000 di dalam peti surat rumahnya.
Barangan kemas itu kemudian telah diambil oleh seorang yang tidak dikenali dengan menaiki sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti.
“Mangsa mula menyedari telah ditipu setelah mendapati wang dalam akaun bank miliknya sebanyak RM261,810 telah dipindahkan ke akaun bank lain pada 6 September lalu melalui mesin ATM tanpa pengetahuannya,” kata Yahaya.
Justeru orang ramai yang menerima panggilan meragukan dinasihati segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
Masyarakat juga diingatkan sentiasa peka terhadap trend penipuan atas talian terkini kerana modus operandi penjenayah sentiasa berubah dan semakin canggih terutama dengan perkembangan teknologi. – MalaysiaGazette