PASIR GUDANG – Sebanyak 26 motosikal milik pekerja yang diparkir depan sebuah kilang di Jalan Pekeliling, di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 9.30 pagi.
“Kebakaran motosikal milik pekerja kilang itu kemudian berjaya dipadamkan dengan bantuan pihak bomba Pasir Gudang pukul 10.30 pagi.
“Pihak polis mengesahkan telah menerima satu laporan kejadian kebakaran membabitkan 26 motosikal yang musnah dalam kejadian itu.
“Bagaimanapun, kejadian yang berlaku itu tidak mengakibatkan sebarang kemalangan nyawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Sohaimi berkata, anggaran kerugian yang dialami pemilik motosikal berkenaan dianggarkan RM78,000.
Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan masih menunggu laporan pemeriksaan daripada forensik bomba.
“Dalam insiden ini, pihak polis masih menjalankan siasatan jika terdapat sebarang perbuatan khianat atau kebakaran secara tidak sengaja (accidental fire).
“Jutaan terima kasih kepada orang awam yang sentiasa menjadi mata dan telinga dalam memberi maklumat kepada pihak polis,” ujarnya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I, Anuar Abdullah berkata, kerja pemadaman kebakaran mengambil masa hampir satu jam sehingga selesai.
Pihaknya masih menjalankan pemeriksaan bagi mengesan punca sebenar kebakaran berlaku termasuk sama ada terdapat unsur khianat.
Tambahnya, seramai sembilan anggota terlibat dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT).- MalaysiaGazette