MELAKA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka negeri mengakui terdapat kepincangan dalam pengurusan taman asuhan kanak-kanak (Taska) di negeri itu sehingga melibatkan kematian terutamanya berpunca daripada tugas pengasuh.
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, pihaknya kesal kerana keadaan itu sudah pun melibatkan dua bayi meninggal dunia di tangan pengasuh dengan yang terbaharu berlaku pada pagi Jumaat lalu.
Tegas beliau, berdasarkan laporan diterima JKM, cara kematian dalam kes Taska di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah Jumaat lalu) itu sama seperti kes dua tahun lalu, pada 27 Oktober 2022.
“Ada sedikit persamaan dan kepincangan yang berlaku di setiap Taska (terlibat) ini macam melepaskan batok di tangga dan adakah mereka (pengasuh) peka akan perbuatan salah itu?
“Maknanya paling senang nak jaga, bedung bayi kemudian bagi susu dengan harapan bayi tak bergerak dan tidur sedangkan cara penjagaan begitu salah dan sudah kes kedua terjadi dengan cara kematian itu sama puncanya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, dan isterinya Sabrina Hakiem Zaini, 39, di Taman Kelemak Utama, di sini. Hadir sama, Pengarah JKM Negeri Melaka Halyjah Muhammad.
Dalam kejadian kira-kira 8 pagi Jumaat lalu, anak sulung pasangan itu, Muhammad Al Fateh Amri yang berusia lapan bulan meninggal dunia selepas pengasuhnya didakwa membedung, menyumbat botol susu menutup dengan kain dan menekup muka bayi berkenaan dengan bantal.
Pada 27 Oktober 2022, Haura Najia Mohd Kamaruddin Helsa, 6 bulan, dilaporkan tidak sedarkan diri oleh pengasuh di sebuah Taska selepas dibedung lebih 10 jam dan diberikan susu.
Selepas dua hari bertarung nyawa di Hospital Melaka, bayi itu disahkan meninggal dunia pada pukul 8.54 pagi di Hospital Melaka.
Mengulas lanjut, Kalsom berkata bagi mengekang sikap atau ‘modus operandi’ sama pengasuh itu daripada terus berulang, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan semua pengusaha Taska di Melaka bulan depan.
“Kita akan panggil dan setiap pengasuh mereka akan diberikan latihan dan advokasi walaupun sebelum ini memang sudah ada garis panduan ditetapkan JKM yang perlu dipatuhi pengasuh.
“Kita akan banteras habis-habisan kerana saya tak mahu lagi ada kes ketiga dan seterusnya dengan modus operandi sama nak bagi budak senyap senang dijaga pengasuh bedung dan sumbat dengan botol susu,” tegasnya lagi.
Ketika ini terdapat 137 buah Taska berdaftar di Melaka iaitu 101 premis di daerah Melaka Tengah dengan jumlah kanak-kanak melebihi 20,000 orang.
Ia diikuti 19 Taska di Jasin 17 di Alor Gajah yang menjaga hampir 700 kanak-kanak. – MalaysiaGazette