PUTRAJAYA- Sebanyak 13,833 operasi telah dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sejak Januari tahun ini hingga 6 September lalu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, daripada keseluruhan operasi dijalankan, pihaknya telah melakukan sebanyak 119,270 pemeriksaan.
Beliau berkata, bagi tempoh sama, seramai 1,087 majikan turut ditahan akibat pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 seperti melindungi dan memberi gaji kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Pihak kami telah melakukan sebanyak 28,625 pemindahan semula ke negara asal.
“Jumlah tahanan di Bukit Jalil kini adalah seramai 16,027 orang.
“Antara kesalahan yang mereka lakukan adalah tidak mempunyai dokumen yang sah dan pas perjalanan yang betul,” katanya.
Menurut Ruslin, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mereka yang melanggar undang-undang imigresen.
“Ini termasuk pihak majikan yang dikenalpasti telah mengambil PATI untuk bekerja di bawah mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette