JOHOR BAHRU – Pencemaran bau terbaharu dipercayai bahan buangan kimia dikesan sekitar Kampung Maju Jaya, Taman Perling dan Bandar Baru Uda, di sini, sejak awal pagi tadi.
Seorang penduduk Kampung Maju Jaya, Abrizah Abu Bakar, 60, mendakwa, bau busuk mula dihidu pukul 4 pagi hari ini dan bertambah buruk mulai 9 pagi.
“Bau busuk seolah bahan kimia itu menusuk hidung dan mengakibatkan ahli keluarga saya terpaksa menggunakan pelitup hidung dan mulut.
“Akibat bau kuat, kami tidak membenarkan cucu untuk bersekolah dan kami difahamkan kumpulan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Maju Jaya juga dibenarkan untuk pulang ke rumah.
“Cucu kami terpaksa menggunakan pelitup hidung dan mulut walaupun berada dalam rumah kerana bau berkenaan amat kuat hingga mengakibatkan tekak kering, sakit kepala dan berasa loya.
“Kami difahamkan bau berkenaan berpunca daripada Sungai Tebrau namun kami kurang pasti apa yang berlaku.
“Sebagai warga emas, kami bukan saja bimbang dengan kesihatan masing-masing malah anak dan cucu kerana terdedah kepada pencemaran udara,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Seorang lagi penduduk kampung tersebut, Isnawiya Punawi, 33, berkata, ia mengganggu tugasan hariannya malah terpaksa bercuti kerja bagi menjaga anaknya yang diarahkan pulang ke rumah kerana masalah berkenaan.
“Kami mendapati ada bangkai ikan yang timbul di permukaan Sungai Tebrau di sini.
“Kejadian ini seharusnya dipandang serius kerana ia bukan saja meninggalkan kesan kepada kehidupan laut malah juga boleh menjejaskan kesihatan orang ramai,” katanya.
Sementara itu, seorang pemandu e-hailing, Mohd Sani Md Salleh, 40, berkata, dia terhidu bau kuat ketika bertugas pada pukul 6 pagi di Bandar Baru Uda, di sini.
“Saya menjangka ia bau kumbahan namun saya hanya menyedari berlaku pencemaran bau atas perkongsian rakan-rakan di media sosial dan ada menyatakan Sungai Skudai turut terbabit,” katanya.
Bagi penduduk Kampung Pasir, Yusof Dolah, 65, berkata, dia terhidu bau busuk ketika terjaga daripada tidur sekitar pukul 3 hingga 4 pagi.
“Memang ada tercium bau pagi tadi. Bau apa saya tak pasti, tapi macam bau najis pun ada, memang busuk,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, penduduk sekitar kawasan Impian Emas dan Flat Melaka di Perling mengadu kepadanya berkenaan masalah tersebut.
Beliau berkata, masalah berkenaan sudah dilaporkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan lanjut dan menasihatkan penduduk terbabit supaya memakai pelitup muka.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, pihaknya ada menerima beberapa aduan pencemaran bau di sekitar Johor Bahru.
Menurutnya, pihak Bomba ke beberapa lokasi bagi memantau keadaan. Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga digerakkan ke lokasi untuk menyiasat punca,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Selasa lalu, beberapa kawasan di Bandaraya Johor Bahru dilanda pencemaran bau kimia yang menyebabkan penduduk khususnya di Kampung Melayu Pandan merasa loya dan pening.
Pencemaran tersebut turut dilaporkan berlaku di tiga taman perumahan di Johor Bahru iaitu Taman Daya, Mount Austin dan Taman Istimewa.
Pencemaran terbaharu dikesan lagi Jumaat lalu di Kawasan Industri Desa Tropika, Johor Jaya manakala hari ini pula pencemaran dikesan di Kampung Orang Asli Pasir Intan, Kota Tinggi dan di Sungai Skudai, Skudai, Johor Bahru.- MalaysiaGazette