KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan supaya menjaga perasaan bukan Islam.
Bekas Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata , selain menjaga sentimen umat Islam, Anwar juga dinasihatkan agar tidak mengenepikan sentimen masyarakat bukan Islam.
“Ketika beliau meringkuk di penjara, rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat yang mencabar undang-undang dan menghadapi ancaman keselamatan untuk menyertai demonstrasi itu bukan hanya terdiri daripada orang Muslim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Chang Kim berkata demikian mengulas kenyataan Anwar yang menegur Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.
Anwar berkata kenyataan itu tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH) dan tidak membantu kerajaan menjernihkan keadaan.
Di Seremban semalam, Anwar menegur Teresa secara terbuka dengan berkata, kenyataan tersebut boleh mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan juga menasihati mana-mana pemimpin politik untuk mengemukakan sebarang cadangan atau kebimbangan mengenai sesuatu perkara dalam mesyuarat supaya perkara itu boleh diteliti secara menyeluruh.
Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP dipetik berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.
Ahli Parlimen DAP itu berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.
Kenyataan Teresa itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia. – MalaysiaGazette

















Ni satu lagi bebal..apa kaitan plak soal halal haram dgn orang bukan Islam..tu hukum halal menurut Islam..tak de kaitan pun dgn org bukan Islam