Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR – Semua pimpinan DAP Johor perlu membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN).

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa DAP Negeri Johor yang diadakan di pejabat Jawatankuasa Perhubungan Parlimen DAP Kluang.

Jelas beliau, DAP Johor menyedari pentingnya PRK Mahkota dalam menentukan hala tuju politik negara menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Apabila calon Kerajaan Perpaduan bagi PRK Mahkota diterima oleh semua kaum, ia akan mengukuhkan lagi kestabilan Kerajaan Persekutuan.

“Ia juga dapat merapatkan kerjasama di antara Pakatan Harapan dan BN di peringkat negeri yang akan mengembalikan kebangkitan Malaysia menuju lonjakan ekonomi kedua,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dalam PRK DUN Mahkota yang akan diadakan pada 28 September ini, BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon.

PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang, Johor.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru.

Sharifah Azizah menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi; calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan (7,614 undi) dan calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman (555 undi).

DUN Mahkota mempunyai 66,318 orang pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa dan 4,510 tentera serta pasangan, 401 anggota polis dan 10 pengundi luar negara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast