Pasukan Harimau Malaya meraikan kemenangan dan bergambar bersama piala selepas berjaya menewaskan Lubnan pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto AIZAT ZAINAL, 08 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kejayaan skuad Harimau Malaya menjulang trofi Pestabola Merdeka 2024 selepas menewaskan Lubnan 1-0 semalam berbaloi kerana turut memberi pulangan dari segi mata kedududukan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana diiktiraf sebagai perlawanan persahabatan Tier 1.

Hasil kemenangan ke atas Lubnan yang berada di ranking 116 dunia itu menyaksikan skuad kebangsaan meraih tambahan +5.68 mata sekaligus mengumpulkan sebanyak 1117.68 mata.

Sebelum itu, skuad kendalian Pau Marti tersebut turut melakar kemenangan ke atas Filipina 2-1 dan mengutip +4.48 mata.

Pungutan mata tersebut turut membantu Harimau Malaya melonjak tiga anak tangga ke kedudukan 131 dunia mengatasi Indonesia yang ketika ini mengutip jumlah mata sebanyak 1115.61 selepas mengikat Arab Saudi 1-1.

Bagaimanapun, kedudukan ini hanya buat sementara waktu kerana ia bergantung kepada keputusan pasukan lain yang beraksi dalam aksi persahabatan dan juga saingan Kelayakan Piala Dunia 2026.

Perlu diingat mata ranking yang ditawarkan dalam saingan Kelayakan Piala Dunia lebih tinggi daripada aksi persahabatan antarabangsa tier 1.

Selepas ini, skuad Harimau Malaya akan menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang New Zealand pada 14 Oktober dan satu lagi pasukan akan diumumkan kemudian.

Kemudian, mereka akan membuat persiapan menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 yang bakal bermula pada bulan Disember ini.

Kejohanan ini turut menawarkan pulangan mata ranking FIFA. – MalaysiaGazette